MUKTAMAR Tahunan Pas ke-71 sudah berakhir. Tidak pasti sama ada ia yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 atau sempat bermuktamar di Kelantan dan menyambut Ulang Tahun Pas ke-75 di Pulau Pinang tahun depan.
Kali ini, muktamar yang boleh dianggap platform terbaik untuk mempersiapkan parti menghadapi PRU, juga Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung bersama pemilihan parti yang menyaksikan lima jawatan utama dimenangi tanpa bertanding.
Pelbagai pandangan diberi mengenai perjalanan muktamar ini. Musuh politik akan melihat parti itu berbalah sesama parti komponen apabila Pas menyatakan hasrat mengambil alih memimpin Perikatan Nasional (PN) seterusnya sebagai calon PM.
Ada juga yang melihat Bersatu yang kini memimpin PN dan menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon PM dijadikan ‘bahan sindiran’ pada muktamar itu manakala Pas pula dikatakan mula mahu melupakan kawan, gelojoh dan kelihatan sombong.
Dalam hal ini, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan PN perlu terus memperkukuh perjuangan dan strategi, tidak perlu membuang masa melayan tohmahan musuh atau “spin” yang sengaja diperbesarkan.
“Tidak perlu kita bersengkang mata atau memerah idea hanya untuk memenuhi agenda pihak lawan yang mahu melihat PN bertelagah,” tegas Tuan Ibrahim, yang menyifatkan sudah lumrah, akan ada usik-mengusik dalam perbahasan perwakilan.
Itu kenyataan Tuan Ibrahim sehari selepas berakhirnya muktamar, selepas ‘peluru’ ditabur.
Selasa lalu, panjang lebar Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan Pas Pusat Kali Ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar. Hampir dua jam ucapannya.
Lebih mencabar, sesi pada hari terakhir itu berlangsung secara ‘maraton’ tanpa rehat dengan pengisiannya membahas usul, pengumuman keputusan pemilihan, ucapan penggulungan pimpinan sebelum diakhiri ucapan penangguhan.
Di pertengahan ucapan, bimbang tak sempat solat Zuhur, saya turut melangkah keluar ke surau, kemudian berkeliaran seketika di gerai makanan sebelum masuk semula ke bilik media mengikuti ucapan Hadi seterusnya.
Banyak yang disentuh. Dan salah satu yang menarik perhatian adalah penjelasan mengenai kenyataannya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar mengenai usia melebihi 70 tahun tidak sepatutnya menjadi Perdana Menteri (PM).
Mungkin penjelasan itu dibuat disebabkan ada yang terasa, seolah-olah disindir padahal Hadi yang berusia 77 tahun turut merujuk kepada dirinya “Orang macam saya tak layak dah. Paling sihat dulu yang bawah 70 tahun jadi perdana menteri,”.
Bagaimanapun seperti biasa, apabila orang politik bercakap, pelbagai tafsiran dibuat. Ada yang menyifatkannya isyarat kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini dicalonkan oleh Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu sebagai PM.
“Saya jawab kepada pemberita yang umur 70 tahun ke atas macam saya dan Mursyidul Am (Hashim Jasin – 86 tahun) tak payah dah, cari yang bawah pada itu yang kuat dan gagah.
“Saya tuju ucapan ini pada saya, bukan pada orang yang lain sama ada yang hidup atau mati. Pilih siapa yang ada ilmu, kebijaksanaan dan kekuatan untuk memajukan negara,” jelas Hadi kepada perwakilan di Dewan Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.
Itu berkaitan PM. Lain pula dengan memimpin PN. Ketika timbul isu berhubung rancangan mahu ‘meminggirkan’ Muhyiddin, Pas tampil dengan kesediaan untuk memimpin PN. Ini satu pilihan dan peluang yang baik sebelum PRU16.
Hakikatnya, seperti kata Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan, bahawa parti itu pernah ditawarkan oleh Muhyiddin untuk menjadi Pengerusi PN.
“Sebab itu sekarang kita (Pas) menyatakan bahawa kami sedia untuk menjadi Pengerusi PN,” katanya sambil menjelaskan parti itu menolak tawaran sebelum ini dengan mengambil kira keadaan semasa.
Ketika itu, kata Takiyuddin, Pas berpendapat Muhyiddin lebih sesuai kerana berdasarkan kedudukannya – antara lain – sebagai bekas PM tetapi sekarang parti arus perdana yang sudah berusia 74 tahun itu sudah bersedia.
Dan isu panas lain yang kini menarik perhatian banyak pihak apabila Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Muhammad Sanusi Md Nor membangkitkan soal dana dalam menghadapi PRU. Beliau dikatakan menyindir parti dalam PN.
Dalam ucapan penggulungannya, Menteri Besar Kedah itu berkata dalam PRU15, parti rakan dalam PN bergantung kepada peralatan dibayar oleh Pas untuk bertanding dengan parti itu mengenakan RM1,200 untuk setiap unit peti undi (UPU).
“Semua peralatan kita bayar, mereka datang bertanding saja. Lepas itu, nak jadi ketua tapi duit tak ada dan jentera pun tak ada. Jangan sampai kita ungkit semua,” katanya yang mengharapkan rakan-rakan memahami situasi yang akan dihadapi.
Pada masa sama beliau turut membangkitkan soal kos menyertai PRU16 untuk satu Parlimen adalah RM1 juta, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM60 juta jika mahu memenangi 60 kerusi.
Dakwaan Sanusi ini menarik pelbagai reaksi termasuk Dr Marzuki Mohamad, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin. Beliau menegaskan perbelanjaan pilihan raya PN ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu, termasuk sumbangan kewangan kepada Pas.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua peralatan pilihan raya menggunakan logo PN ketika itu disediakan Bersatu, sekali gus membantu Pas meraih kemenangan 43 kerusi Parlimen sekali gus menjadi pencapaian terbesar parti itu dalam sejarah.
Pendedahan Sanusi dan Marzuki mengundang persoalan, siapa sebenarnya yang mengeluarkan belanja pilihan raya itu. Siapa yang bercakap benar. Sumber mana dan kepada siapa.
Malahan ada juga yang mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan siasatan berhubung perbelanjaan itu.
Sama ada calon PM itu datang dari Bersatu atau Pas, Pengerusi PN diberi kepada Pas atau isu dana PRU, semuanya kini umpama memberi ‘peluru’ kepada pihak lawan yang mengambil peluang ‘menembak’ kembali gabungan pembangkang itu.
Tunggu dan lihat apa episod seterusnya. Mampukah pihak lawan ‘memecah belahkan’ PN dan sejauh mana pula PN mampu ‘melawan’ dan memantapkan strategi PN dalam mendepani PRU akan datang.
Seperti kata Tuan Ibrahim, dengan kemenangan 73 kerusi Parlimen dan penguasaan di empat negeri, perjalanan PN masih panjang walaupun bayangan Putrajaya sudah kelihatan, ia masih belum jelas.
Beliau memetik kata pepatah, “Ternak dahulu kambing, kemudian barulah berbincang tentang pembahagian untung.”
Nnnn
