SPRM: Laporan jejaskan keyakinan awam

PUTRAJAYA 10 Feb. – Laporan Bloomberg yang mengelirukan dan tidak berasas membabitkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap suruhanjaya itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata pihaknya memandang serius laporan itu, sambil menegaskan ia bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi pegawai terbabit, malah mengaitkan SPRM secara tidak adil dengan dakwaan salah laku.

Gambaran seolah-olah terdapat kegagalan mengisytiharkan aset adalah tidak tepat dari segi fakta dan mewujudkan tanggapan mengelirukan terhadap integriti serta rangka kerja tadbir urus yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam.

SPRM berkata pengisytiharan aset oleh pegawai awam tertakluk kepada prosedur pentadbiran dan tadbir urus yang telah ditetapkan di bawah kerangka perkhidmatan awam, serta dikemukakan melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya telah mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan aset yang berkuat kuasa, termasuk pengisytiharan yang dibuat melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

SPRM berkata pengisytiharan berkenaan merangkumi sumber pendapatan serta perolehan dan pelupusan aset, termasuk pegangan saham.

Katanya sebarang dakwaan yang membayangkan ketidakpatuhan adalah tidak tepat dan mencerminkan gambaran tidak adil terhadap SPRM sebagai agensi penguatkuasaan yang diamanahkan untuk memelihara integriti dan ketelusan.

“Laporan sedemikian secara tidak wajar mengaitkan SPRM dengan dakwaan salah laku dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap Suruhanjaya,” katanya.

SPRM menegaskan semula komitmennya untuk menegakkan kepercayaan, integriti dan ketelusan dalam melaksanakan tugas berkanunnya.

“SPRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menjejaskan kredibiliti serta keyakinan awam melalui laporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment