SEPANG 10 Feb . – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak berkenan sebarang bentuk penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil dijalankan di mana-mana daerah dalam negeri Selangor.
Justeru baginda menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor.
Langkah ini, titah baginda, dijangka mengurangkan kebergantungan kepada penternakan tempatan serta mengelakkan isu pencemaran dan konflik penduduk.
Dalam masa sama, Sultan Selangor menegaskan, supaya isu penternakan babi perlu dihentikan dan dimuktamadkan segera kerana ia menimbulkan keresahan masyarakat serta boleh menjejaskan keharmonian negeri.
Pendirian itu dizahirkan baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Sulit baginda, hari ini, berhubung isu projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Kenyataan Sultan Selangor itu dikeluarkan susulan cadangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 23 Januari lalu yang mengesyorkan kepada kerajaan Negeri Selangor agar membatalkan projek penternakan babi di kawasan tersebut.
Isu ini turut dibincangkan semasa Perdana Menteri menghadap Sultan Selangor pada 8 Februari lalu.
Pada 9 Februari lalu pula, Anwar menyatakan tidak setuju terhadap projek ternakan babi di kawasan yang dibantah penduduk tempatan atau berpotensi menimbulkan kontroversi.
Sehubungan itu, Sultan Selangor menyambut baik pendirian Perdana Menteri dan menegaskan bahawa baginda tidak berkenan penternakan babi kerana ia berisiko mencemarkan udara, mengeluarkan bau busuk, selain boleh mengotorkan sungai akibat pelepasan najis serta sisa kumbahan.
Baginda memberi contoh cadangan projek di Bukit Tagar, yang terletak berhampiran kawasan penempatan majoriti Melayu termasuk kawasan Felda.
Menurut kenyataan itu, projek tersebut hampir pasti menerima bantahan penduduk tempatan, di samping berpotensi mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Walaupun teknologi penternakan moden dikatakan mampu mengurangkan impak pencemaran, baginda menegaskan kos pelaksanaannya adalah terlalu tinggi dan sukar ditanggung oleh mana-mana pihak hanya untuk memenuhi keperluan bekalan daging babi di Selangor.
Di samping itu, masih tiada jaminan bahawa pencemaran tidak akan berlaku terhadap kawasan tadahan air serta sungai utama di Lembah Klang.
Menurut kenyataan itu lagi, disebabkan keterbatasan tanah dan nilai hartanah yang tinggi di Selangor, penternakan babi sama ada secara besar-besaran atau kecil dilihat tidak sesuai dijalankan kerana tanah negeri lebih wajar digunakan untuk tujuan yang memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada rakyat.
Kenyataan itu turut menyeru semua pihak agar menghormati titah baginda dan bersama-sama memelihara perpaduan serta ketenteraman di Selangor.
Nnn
