Titah Sultan Selangor jaga kepentingan Melayu

SEPANG 18 Sept. –  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang.

Titah baginda, Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900 dan memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.

Justeru baginda mahu agar isu berhubung isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

“Beta tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Baginda turut menarik perhatian mengenai sejarah Kampong Bharu yang  ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian.

Ia adalah hasil kurniaan daripada nenda baginda, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).

Baginda mengimbas kembali susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampong Bharu dan harus dipelihara.

“Ini kerana Beta sendiri pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu, ketika ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.

Allahyarham ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampong Bharu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar,” titah baginda.

Menurut baginda, sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampong Bharu menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada tahun 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Dan semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang-orang Melayu.

Titah baginda, Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka.

dan kini  Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hakmilik Kerajaan Negeri Selangor.

“Bukan itu sahaja, sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kediaman rasmi  Dato’ Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampong Bharu.

Lebih nostalgik, persefahaman pernah dicapai supaya Masjid Jamek Kampong Bharu yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain,” tegas baginda.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment