Bersatu tanggung kos calon Pas guna logo PN pada PRU-15

SEPANG 17 Sept. – Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila segala kos ditanggung oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin  Muhyiddin Yassin.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Dr Marzuki Mohamad berkata, apabila Pas bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.

“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada Pas,” dedah beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hasilnya kata Marzuki, Pas memenangi 43 kerusi Parlimen iaitu jumlah terbesar dalam sejarah Pas sepanjang 70 tahun berada di persada politik Malaysia.

“Ini hakikat bantuan peralatan dan kewangan yang diberikan oleh Bersatu kepada Pas yang saya percaya Datuk Seri Sanusi (Mohd Noor) sendiri tahu,” katanya yang bersetuju dengan anggaran kos RM1 juta diperlukan bagi satu kawasan parlimen..

Semalam, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas mendedahkan bahawa kos mempertahankan satu kerusi Parlimen pada PRU16 dijangka mencecah sehingga RM1 juta sekiranya gagal menguasai penggunaan teknologi.

Marzuki, mengakui bahawa semua parti tanpa mengira ideologi berdepan realiti kos besar dalam setiap pilihan raya, khususnya di Sabah dan Sarawak yang memerlukan kos logistik jauh lebih tinggi.

Beliau menjelaskan, antara komponen utama kos pilihan raya termasuk percetakan bahan kempen, latihan jentera serta pembayaran elaun kepada ejen di pusat pengundian.

“Nak cetak bendera mesti ada duit. Poster calon mesti dibayar. Itu belum masuk papan iklan, kain rentang, topi, baju-T, buluh dan kayu untuk memacak bendera dan lain-lain. Ini semua bukan percuma.

Jentera pilihan raya mesti dilatih. Kos melatih jentera pilihan raya bukan murah. Setelah dilatih, mereka dihantar bertugas semasa kempen dan pada hari mengundi. Yang jadi ejen mengundi dan ejen pengiraan undi (PACA) diberi elaun,” katanya.

Di samping itu, elaun kepada PACA amat penting bagi memastikan integriti proses pilihan raya.

“Kalau tak diberi elaun, mereka ponteng. Siapa nak perhati proses membuang undi dan mengira undi kalau mereka ponteng? Kalau ada penipuan kerana tiada PACA di tempat mengundi, parti akan kalah,” jelasnya.

Menurut beliau, di sampng itu, di sesetengah tempat memerlukan kenderaan untuk pengundi kerana pengangkutan, jumlah undi boleh terjejas.

“Van, kereta dan motosikal digunakan. Elaun pemandu mesti disediakan. Duit minyak mesti diberi. Kalau tak diberi, tak adalah kenderaan.

“Mak Senah dan Pak Maun yang menunggu di pintu rumah tak keluar mengundi sebab tak ada orang jemput. Kalau parti kalah sebab kurang dua undi, tak ke menyesal,” katanya.

Marzuki berkata, , kos-kos yang dinyatakan belum termasuk perbelanjaan untuk kajian pilihan raya, kos pengiklanan di media massa dan media sosial, kos mengendalikan bilik gerakan pilihan raya serta lain-lain kos runcit.

“Jadi pilihan raya ini belanjanya besar. Tidak kira mana-mana parti pun inilah kos yang terpaksa ditanggung,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment