NEW YORK – Kesemua 15 negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengutuk serangan udara ke atas ibu negara Qatar, Doha.
Ketetapan itu dibuat dalam satu kenyataan sebulat suara oleh negara anggota, termasuk Amerika Syarikat (AS) iaitu sekutu rapat Israel.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut nama Israel, yang dipercayai melancarkan serangan pada Selasa lalu, dalam usaha membunuh pemimpin politik Hamas.
Serangan itu mencetuskan kebimbangan berikutan peningkatan tindakan ketenteraan yang disifatkan AS adalah tindakan sebelah pihak serta tidak selari dengan kepentingan bersama antara Washington dan Tel Aviv.
Duta Israel ke PBB, Danny Danon, berkata serangan itu membawa mesej tiada tempat selamat untuk pengganas, tidak kira di Gaza, Tehran atau Doha.
“Kami akan bertindak terhadap pemimpin keganasan, di mana saja mereka bersembunyi,” katanya.
AS secara tradisi melindungi sekutunya, Israel, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, sokongan Washington terhadap kenyataan UNSC kali ini, yang hanya boleh diluluskan menerusi konsensus, mencerminkan ketidakpuasan hati Presiden AS, Donald Trump, terhadap serangan yang diarahkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Menurut kenyataan yang dirangka oleh Britain dan Perancis, anggota UNSC menekankan kepentingan untuk meredakan ketegangan dan menyatakan solidariti mereka bersama Qatar selain turut menyuarakan sokongan terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Qatar.
Selain itu, anggota Majlis juga menegaskan pembebasan tebusan termasuk yang dibunuh oleh Hamas, dengan penamatan perang dan penderitaan di Gaza turut menjadi keutamaan mereka.
Operasi di Doha itu menerima kecaman meluas, lebih-lebih lagi kerana Qatar sedang menjadi tuan rumah dan pengantara rundingan bagi mencapai gencatan senjata dalam konflik Gaza.
Sementara itu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani, menuduh Israel cuba menggagalkan usaha menamatkan perang di Gaza dengan menyerang pemimpin Hamas di Doha.
Beliau bagaimanapun berikrar untuk meneruskan usahanya sebagai pengantara.
Nnnn
