Empat gabungan sepakat

PUTRAJAYA 16 Dis. – Empat gabungan parti politik memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH), petang ini bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan  Anwar Ibrahim.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Dr. Zambry Ab Kadir (BN); Alexander Nanta Linggi (GPS),  Marsidi Manjun (GRS) dan Loretto S Padua Jr (Warisan).

Perjanjian persefahaman kerjasama itu ditandatangani kira-kira pukul 3.15 petang ini.

Anwar berkata, semua parti dan gabungan politik yang menyertai perjanjian persefahaman kerjasama dengan PH sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong Perdana Menteri.

Beliau berkata, komitmen mereka ialah menyokong sebuah kerajaan yang stabil dan

berharap akan berterusan sehingga penggal kali ini berakhir.

“Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami, komitmennya untuk menyokong kerajaan yang stabil. Harapnya sehingga penggal berakhir,” katanya.

Related posts

Leave a Comment