15 juta jemaah umrah suku pertama 2025

RIYADH – Arab Saudi merekodkan lebih 15 juta jemaah termasuk lebih enam juta jemaah asing menunaikan umrah pada suku pertama 2025.

Menurut buletin statistik yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Am bagi Perangkaan (GASTAT), warga Arab Saudi mencatat 24 peratus daripada jumlah jemaah seramai 15,222,497 yang menunaikan umrah dalam tempoh berkenaan.

Jemaah lelaki mewakili 60.5 peratus, manakala wanita menyumbang 39.5 peratus.

Buletin GASTAT menunjukkan jemaah umrah yang tiba dari luar negara mencecah 6,523,630 orang, meningkat 10.7 peratus berbanding suku pertama 2024. Daripada jumlah jemaah asing, 82.2 peratus tiba melalui udara.

Jumlah jemaah domestik berjumlah 8,698,867 orang, yang mana bukan warga Saudi membentuk 58 peratus.

Buletin itu menunjukkan Januari lalu mencatatkan jumlah jemaah umrah dari luar negara tertinggi mencecah 36.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala Mac mencatatkan jumlah paling rendah.

Jumlah jemaah domestik memuncak pada Mac pada 80.9 peratus dengan Januari paling rendah.

Angka itu menunjukkan jumlah pengunjung ke Madinah mencecah 6,452,696 pada suku pertama 2025, termasuk 4,412,689 pengunjung dari luar negara.

Menurut Saudi Gazette, GASTAT mengeluarkan angka statistik berkenaan dengan bilangan jemaah yang datang dari Arab Saudi dan luar untuk menunaikan umrah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah setiap suku tahun sejak 2024.

Angka itu terutamanya berdasarkan tinjauan lapangan dan data pentadbiran daripada Program Pengalaman Haji dan Kementerian Pelancongan, selain sumber statistik yang diluluskan.

Kementerian Haji dan Umrah pada 31 Julai mengumumkan bahawa lebih 1.2 juta jemaah memasuki Arab Saudi untuk menunaikan umrah dari 109 negara di seluruh dunia dalam tempoh dua minggu sejak bermulanya musim umrah baharu.

Selain itu, lebih 4,200 kontrak ditandatangani antara syarikat umrah dan ejen luar, meningkatkan kesediaan operasi sistem untuk menerima jemaah.

Sementara itu, pelancaran perkhidmatan Nusuk Umrah oleh Kementerian Haji dan Umrah akan menjadi rangsangan bagi kedatangan jemaah asing.

Perkhidmatan ini akan membolehkan jemaah asing membuat permohonan terus untuk visa umrah dan menempah perkhidmatan dalam talian tanpa perantara.

Platform https://umrah.nusuk.sa/ bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperkaya pengalaman jemaah.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment