KUALA LUMPUR 20 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan keatas Dr Akmal Saleh dan menyifatkannya intimidasi politik untuk menutup teguran terhadap kedaulatan Jalur Gemilang.
Ketua Penerangannya, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, berkata, Pemuda berdiri teguh bersama Datuk Dr. Akmal Saleh yang bakal berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 22 Ogos ini.
“Pemuda UMNO Malaysia bersolidariti penuh bersama-sama Dr Akmal dalam menghadapi ujian getir ini. Kami akan terus memberikan sokongan agar keadilan dapat dibuktikan di mahkamah yang mulia,” katanya menerusi satu kenyataan.
Katanya, Dr Akmal berdepan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan mengeluarkan kenyataan, khabar angin atau laporan yang berpotensi menimbulkan ketakutan atau mengganggu ketenteraman awam.
“Pertuduhan yang akan dikenakan berhubung isu yang diperjuangkan Dr Akmal dan Pergerakan Pemuda UMNO mengenai insiden Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik dan Himpunan Solidariti Jalur Gemilang di Bertam, Kepala Batas baru-baru ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan maruah Jalur Gemilang tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan, sebaliknya adalah tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia.
Sementara itu, Exco Pemuda Mohd Nazifuddin Najib mempersoalkan mengapa seorang pemimpin muda yang lantang bersuara demi rakyat, agama, bangsa dan negara, dikenakan pertuduhan berat di bawah Seksyen 505(b) yang sepatutnya diguna untuk mengekang berita palsu yang boleh mencetuskan huru-hara.
“Jelas sekali ini bukan soal undang-undang, tetapi satu pendakwaan bermotif politik yang mahu menakut-nakutkan dan membungkam suara anak muda yang berani berkata benar,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Seksyen 505(b) menyebut sesiapa yang membuat, menerbitkan atau menyebarkan kenyataan atau laporan yang boleh menimbulkan ketakutan atau mendorong orang awam mengganggu ketenteraman boleh dianggap bersalah, dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda.
“Adakah benar kenyataannya membawa ketakutan awam atau menghasut rakyat untuk membuat huru-hara? Atau ia hanyalah pandangan politik yang tidak disenangi pihak tertentu lalu cuba diputar seolah-olah mengancam keselamatan negara?
Inilah persoalan besar yang membuktikan undang-undang telah diperalatkan demi kepentingan politik sempit,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu melihat tindakan ini sebagai satu bentuk ketidakadilan yang nyata, bukan sahaja cubaan untuk menekan seorang individu, tetapi juga amaran kepada semua pemimpin muda agar jangan berani bersuara.
“Ia adalah cubaan untuk melemahkan semangat Pemuda UMNO, tetapi saya tegaskan di sini – kita tidak akan tunduk. Kita tidak akan gentar. Kita tidak akan biarkan seorang pemimpin muda berjuang sendirian,” katanya.
Beliau menyeru semua ahli UMNO, khususnya Pemuda di seluruh negara, untuk bersolidariti dengan Dr Akmal.
“Kita doakan kekuatan dan ketabahan beliau, kita berikan sokongan moral yang tidak berbelah bahagi, dan kita buktikan bahawa walau apa pun tekanan yang cuba dikenakan, semangat perjuangan kita tidak akan padam.
Ini bukan kali pertama undang-undang dijadikan alat untuk menekan musuh politik, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa fitnah dan kezaliman tidak akan bertahan lama.
Kebenaran akhirnya akan mengatasi kebatilan, dan keadilan akan berpihak kepada mereka yang benar. Hari ini mereka cuba menutup suara Pemuda UMNO, tetapi suara ini akan bergema lebih kuat, lebih jauh, dan lebih berani. Hidup UMNO! Hidup Pemuda! Hidup Perjuangan!,” katanya.
Nnnn
