KUALA LUMPUR 20 Ogos – “Saya akan lawan dan minta dibicarakan,” kata Muhammad Hilman, 36 yang dhadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam melalui kenyataan dimuat naik di akaun Tiktok, bulan lalu.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, itu didakwa di hadapan Majistret Amira Abd Aziz mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu dituduh membuat kenyataan di akaun Tiktok ‘alfah.channel.tv’ yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Video TikTok itu memaparkan ucapan Muhammad Hilman ketika Himpunan Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan pada 29 Julai lalu, yang dianjurkan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis.
Kenyataan itu telah dilihat dan didengar oleh anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia, Menara KPJ, No 238, Jalan Tun Razak, di sini, pada jam 2.09 petang, 30 Julai lalu.
Beliau yang diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badiuszaman Ahmad menawarkan ikat jamin RM10,000 sebelum Muhammad Rafique memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang proses siasatan.
“Tertuduh seorang ADUN yang dikenali rakyat Selangor dan Malaysia, tiada sebab untuk tertuduh melarikan diri.
“Saya cadangkan jaminan seharusnya pada kadar RM3,000 sahaja dengan seorang penjamin dan tanpa syarat lain kerana beliau perlu menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” kata Muhammad Rafique.
Selain Muhammad Rafique, tertuduh turut diwakili peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 9 Oktober depan untuk serahan dokumen.
Nnn
