Kes kematian Wan Ahmad Faris dibuka semula

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada Disember 2013 akan dibuka semula.

Menteri Dalam Negeri,  Saifuddin Nasution Ismail, yang mengesahkan demikian di Dewan Rakyat berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiada masalah untuk berbuat demikian kerana kertas siasatan sudah pun siap.

Bagaimanapun pada ketika itu (2013), Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bertindak mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut.

“Sekarang keluarga (Wan Ahmad) Faris kata ada kewajaran dilihat semula, saya hendak bagi tahu… ya polis akan buka semula,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya hari ini.

Beliau berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah memaklumkan tiada apa yang menghalang untuk membuka semula kertas siasatan kerana ia sudah lengkap.

Isnin lalu, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris menyerahkan surat kepada polis Bukit Aman bagi memohon Bukit Aman membuka semula kertas siasatan kes kematian Wan Ahmad Faris.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar Tingkatan Empat ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.

Mayat dilaporkan dijumpai penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dan hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut serta tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Namun Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

Nnn

Related posts

Leave a Comment