GAZA – Dalam tempoh 24 jam terakhir, sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh menjadikan jumlah kematian akibat perang selama 22 bulan di Gaza kini mencecah 62,004 orang, iaitu antara konflik paling dahsyat dalam sejarah moden wilayah itu.
Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan jumlah mangsa cedera turut meningkat kepada 156,230 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak yang dilaporkan membentuk hampir separuh daripada angka korban keseluruhan.
Menurut laporan itu, seramai 1,965 rakyat Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan atau berada berhampiran lokasi pengagihan bantuan.
Pada pagi Isnin, tujuh lagi mangsa dilaporkan terbunuh ketika cuba mengakses bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Walaupun angka rasmi ini tidak membezakan antara orang awam dan pejuang bersenjata, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pakar bebas menganggap statistik Kementerian Kesihatan Palestin sebagai sumber paling boleh dipercayai dalam menilai kesan kemanusiaan konflik.
Israel bagaimanapun menolak angka tersebut dan belum mengemukakan data alternatif sendiri.
