SEPANG 19 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam Jumaat ini untuk satu pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam.
Exco Kerajaan Negeri Melaka itu memaklumkan telah dihubungi oleh pihak polis bahawa beliau akan dihadapkan ke mahkamah pada pukul 8 pagi.
“Namun, saya kini sedang menunaikan ibadah umrah di bumi Allah Makkah. Justeru, saya akan pendekkan umrah saya dan akan pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan tersebut pada hari Jumaat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebab-sebab pendakwaan itu tetapi difahamkan ada kaitan dengan himpunan membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik di Kepala Batas.
“Mohon doakan saya. Jika ini harga yang saya perlu bayar untuk memartabatkan kedaulatan negara,saya tidak akan berganjak walau seinci sekalipun.Kita jumpa di mahkamah Jumaat ini,” katanya.
Pada 14 Ogos lalu, Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, Bersatu dan Pas dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer bagi membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Sehubungan itu, DAP mengarahkan sayap Pemudanya (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan pemimpin muda UMNO itu.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, berkata laporan polis dibuat mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan.
Pada 15 Ogos lalu, Muhamad Akmal memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 11 malam.
Polis Pulau Pinang pula dalam kenyataannya memaklumkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman (USJT) mengambil alih siasatan berhubung satu video tular melalui platform Facebook atas nama Akmal Salleh yang dikatakan mengeluarkan kenyataan boleh dikategorikan ‘hate content’.
Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata dalam pautan video itu, Akmal Salleh dikatakan mengeluarkan kenyataan yang dipercayai boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat dan menggugat ketenteraman awam.
Beliau berkata, pada 12 Ogos 2025, pihak polis menerima satu laporan yang dibuat di Bukit Mertajam dekat sini berkaitan pautan video yang ditularkan itu.
“Pihak polis bertindak memulakan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Siasatan awal dijalankan pihak polis Pulau Pinang dan hari ini, kes itu diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” kata Azizee.
Nnnnn
