KUALA LUMPUR 18 Ogos – Syarikat yang dilantik bagi projek penjenamaan Lembaga Tabung Haji (TH) adalah gabungan konsortium empat syarikat tempatan mempunyai kepakaran dan kebolehan selari dengan keperluan kerja diperlukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, konsortium itu dianggotai golongan profesional berbilang kaum dan pemilihan syarikat berkenaan mendapat kelulusan menerusi kaedah dan tadbir urus perolehan TH yang dikawal selia oleh Lembaga Pengarah.
“Sejak 1963, TH telah melakukan semakan penjenamaan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1969, 1995 dan 2009. TH sentiasa mendukung amalan tadbir urus korporat terbaik dan mematuhi segala dasar serta proses perolehan.
TH sentiasa mengutamakan syarikat bumiputera di bawah dasar perolehannya iaitu pada tahun lalu, 81 peratus daripada vendor dilantik TH adalah syarikat bumiputera melibatkan 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan TH,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi projek penjenamaan itu, Mohd Na’im berkata TH mengesahkan kos menggunakan perunding ialah RM5.9 juta untuk tiga tahun dan bukannya RM20 juta seperti yang didakwa.
Sementara itu, pada sesi yang sama, Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yeng ‘merehatkan’ Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) selama dua hari selepas bercakap tanpa kebenaran ketika sesi penggulungan.
Ketika itu, Dr Mohd Na’im sedang memberi penjelasan mengenai isu pelantikan syarikat bukan Islam untuk menjalankan penjenamaan semula TH seperti dibangkitkan wakil Pengkalan Chepa sebelum ini.
Mohd Na’im juga mendedahkan sebanyak 23 syarikat bukan Islam juga pernah dilantik sewaktu Ahmad Marzuk menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),
Ia membuatkan Ahmad Marzuk tidak berpuas hati dan tanpa menghiraukan arahan Timbalan Speaker supaya duduk, beliau meminta menteri menjelaskan untuk apa syarikat bukan Islam itu dipilih semasa beliau menjadi timbalan menteri
“Ahli Yang Berhormat (YB) yang tak mahu dengar jawapan boleh keluar ya. Boleh cakap nanti boleh keluar juga kerana (untuk Menteri) tinggal tujuh minit saja.
“YB Pengkalan Chepa saya tak benarkan YB minta penjelasan lagi kerana masa tak cukup. Saya guna Peraturan Mesyuarat 37(2) sila duduk. Silakan (YB) Pengkalan Chepa untuk rehat sekejap. Kalau bangun lagi terus keluar.
“Silakan bentara, bawa Pengkalan Chepa keluar. Sila keluar. Rehat di luar setengah jam baru masuk. Tak cukup setengah jam saya bagi dua hari,” kata Timbalan Speaker.
Selepas Timbalan Speaker beberapa kali mengarahkan Ahmad Marzuk keluar, bekas Timbalan Menteri dari Pas itu tetap berdegil apabila terus bercakap.
Ahmad Marzuk terus memprovokasi Mohd Na’im mengenai isu terpalit TH membuatkan Kiong Yeng mengarahkan Ahmad Marzuk keluar dewan dari setengah jam kepada dua hari.
“Yang lain pun nak dua hari ? Tadi saya cakap setengah jam tetapi YB (Pengkalan Chepa) masih cakap tanpa kebenaran. Jadi mahu dua hari saya tanya? Terus dua hari,” kata Timbalan Speaker itu.
Nnnn
