KUALA LUMPUR 15 Ogos – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan terus bekerja dan memperjuangkan kerjaya politiknya meskipun terdapat pihak mencadangkan supaya berehat sebentar daripada dunia politik.
“Ada yang cadang saya berehat sebentar, tapi hidup dan tanggungjawab mesti diteruskan,” kata Ahli Parlimen Pandan itu dalam Facebook hari ini.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata walaupun keluarganya menerima ugutan, namun hidup dan tanggungjawabnya perlu diteruskan.
“Saya bukanlah tidak ada hati perut pentingkan politik dalam keadaan sekarang, tetapi matlamat ugutan terhadap keluarga dibuat supaya saya putus asa dan duduk diam.
“Kalau saya tidak meneruskan rutin dan tanggungjawab seperti biasa, maka tercapailah matlamat mereka itu.
“Jadi esok pun saya akan meneruskan Kaunter Bergerak di Pasar Pagi Taman Muda dan berjumpa penduduk Pandan macam biasa,” katanya.
Sebelum ini Rafizi memaklumkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar menyerang anak lelakinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya. Ketika kejadian, anak lelakinya ada bersama isterinya.
Dalam perkongsian di Facebook, beliau mendakwa seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu pada 1.45 tengah hari.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan serangan dibuat terhadap anak lelakinya adalah disebabkan pertemuannya bersama satu kumpulan pemberi pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ berkait sebuah skandal, pada Rabu minggu lalu.
NNNN
