DAPSY saran DAP putuskan hubungan dengan Akmal

SEPANG 15 Ogos – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang menggesa kepemimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengan Dr Akmal Saleh khususnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang susulan tindakan Ketua Pemuda UMNO itu yang didakwa bersifat provokasi.

Dalam kenyataannya, DAPSY menyifatkan gelagat Akmal semakin melampau dalam kaedah berpolitiknya yang kini menjadi ancaman nyata kepada keharmonian nasional dan kedaulatan undang-undang.

“DAPSY Pulau Pinang menegaskan bahawa perbuatan sebegini tidak boleh dimaafkan dan menggesa DAP dan DAPSY Kebangsaan untuk memutuskan semua bentuk hubungan kerjasama politik dengan Akmal khususnya dalam PRU yang akan datang,” kata kenyataan itu.

DAPSY mendakwa tindakan Akmal yang secara terbuka mengugut pendakwa raya dan diikuti dengan himpunan berhubung isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu pencabulan serius terhadap kedaulatan undang-undang.

Menurut DAPSY, perbuatan sebegini bukan sahaja bertentangan dengan pendirian Kerajaan Perpaduan yang meraikan kepelbagaian, malah secara sengaja merancakkan sentimen perkauman, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan untuk menjaga kestabilan negara.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Akmal mengetuai protes di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, selepas pemilik premis itu dirakam mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Selepas insiden itu tular di media sosial, pemilik kedai mendakwa beliau sedang mengukur panjang tiang besi ketika menggantung bendera negara dan tidak sedar bendera itu dipasang terbalik.

Susulan itu Akmal mengancam akan hadir ke kedai tersebut untuk “mengajar” individu berkenaan cara memasang bendera dengan betul sekiranya pihak berkuasa tidak mendakwa lelaki itu dalam tempoh dua hari.

DAPSY juga mendakwa, dalam isu bendera ini, Akmal memilih untuk bernada kebencian terhadap kaum lain, selari dengan naratif perkauman Bersatu dan Pas malahan mendakwa Ketua Pemuda UMNO itu menjadi alat Perikatan Nasional.

“Akmal sering melaungkan slogan “patriotisme”, namun sebenarnya memperalatkan isu tersebut sebagai modal politik murahan untuk kepentingan sendiri. Tindakan samseng Akmal mengancam ketenteraman masyarakat dan kebebasan berniaga rakyat.

“DAPSY Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa apabila ahli politik dibenarkan bertindak di luar kerangka undang-undang sambil terus menghasut kebencian kaum, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang menakutkan rakyatnya sendiri.

“Tingkah laku Akmal Saleh jelas memperlihatkan sikap angkuh dan tidak menghormati kedaulatan undang-undang, sekali gus menjadikannya sebagai “barah” dalam politik negara,” kata kenyataan itu.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment