KUALA LUMPUR 15 Ogos – DAP mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap perarakan dan demonstrasi di depan sebuah kedai logam di Kepala Batas semalam.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, walaupun polis memberi amaran supaya tidak ada sebarang perhimpunan, tetapi masih berlaku dengan diketuai Ketua Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Salleh.
“Tindakan tersebut merupakan satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga tersebut walaupun siasatan masih dijalankan dan beliau telah memohon maaf terhadap kesilapan pemasangan bendera,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Dr Muhamad Akmal mengetuai Himpunan Solidariti Jalur Gemilang bagi menzahirkan kecintaan terhadap kedaulatan bendera tersebut susulan cubaan pemasangan bendera terbalik di sebuah premis perkaksan di Bertam, Kepala Batas.
“Saya tidak mahu ada orang cakap saya pembuli. Saya bukan pembuli. Hari ini kita datang berhimpun untuk memberitahu bahawa kita terlalu sayangkan bendera ini,” katanya pada perhimpunan itu.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, tindakan Akmal mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam menyebabkan kegusaran peniaga-peniaga di kawasan tersebut sehingga terpaksa menutup perniagaan lebih awal.
Katanya, perbuatan seperti ini melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan mahu hukuman setimpal dijatuhkan terhadap perbuatan seperti ini.
Katanya, laporan polis dibuat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah (criminal intimidation), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan), Seksyen 505 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam).
Di samping itu, laporan polis juga akan dibuat di bawah seksyen-seksyen baharu untuk menangani buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan (menyebabkan mangsa mengalami gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan) dan 507C Kanun Keseksaan (mengeluarkan kata-kata yang berkemungkinan menyebabkan mangsa terganggu, distres, takut atau bimbang).
Beliau juga menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan tetapi perbuatan yang mengugut dan membuli, serta menimbulkan ketegangan bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini.
Nnnn
