Pastikan siasatan kematian Zara Qairina telus

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak supaya siasatan secara telus dan bebas tanpa mengira status mereka yang terlibat menyebabkan kematian tragis, pelajar, Zara Qairina Mahathir bulan lalu.

Ketua Penyelaras Putra Negeri Sabah, Jeffrus Maimin Rijan berkata pelaku, pembantu pelaku, atau sesiapa yang menyembunyikan bukti mesti diheret ke muka pengadilan dengan segera tanpa pilih kasih.

“Kepada mereka yang berasa diri kebal kerana jawatan, wang atau nama keluarga, ingatlah, rakyat sedang memerhati, dan rakyat boleh menjatuhkan kamu bukan sahaja di mahkamah, tetapi di medan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kematian Zara Qairina bukan sekadar kehilangan seorang anak, tetapi kehilangan maruah sistem yang sepatutnya melindungi anak bangsa.

“Putra mengecam sekeras-kerasnya kejadian ini, tiada ruang untuk memaafkan mereka yang menganiaya atau menutup mulut rakyat daripada menuntut kebenaran. Sekolah bukan gelanggang untuk penderaan.

Institusi pendidikan bukan medan pembunuhan karakter dan jasad. Jika benar ada yang melindungi pelaku kerana status atau hubungan, itu bukan sahaja jenayah, tetapi pengkhianatan kepada negara,” katanya.

Putra juga mengingatkan pihak berkuasa supaya tidak ‘bermain wayang’, memperlahankan siasatan kerana keadilan yang lambat itu adalah keadilan yang mati.

Jeffrus Maimin juga mahu Kementerian Pendidikan melakukan pembaharuan

secara total sistem asrama dan sekolah berasrama penuh supaya kes seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan.

Katanya, Putra berdiri teguh bersama seluruh rakyat Malaysia dalam menyatakan rasa dukacita dan marah yang amat mendalam terhadap kematian tragis itu dan tidak akan berdiam diri menuntut keadilan.

“Saya, serta Presiden Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, bagi pihak Putra, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Al-Fatihah buat Adik Zara Qairina,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment