KUALA LUMPUR 7 Ogos – Syarikat air dari Pulau Pinang, Selangor dan Johor mencatatkan prestasi perkhidmatan pada tahap terbaik manakala di Perlis, Kedah dan Kelantan mencatatkan prestasi kurang memuaskan.
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata, prestasi itu berdasarkan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.
Fadillah berkata tumpuan pihaknya sekarang adalah memastikan syarikat air di negeri berkenaan mencapai KPI terbaik, untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kurangnya aduan pengguna iaitu rakyat terhadap perkhidmatan diberikan.
“Jadi apa pun yang kita buat, sudah pasti kita memfokuskan kepada rakyat supaya kadar dinaikkan itu tidak membebankan khususnya pengguna domestik iaitu rakyat terbanyak,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Lima KPI ditetapkan itu ialah syarikat air mesti menetapkan margin simpanan, kualiti air yang terawat, Program Air Tidak Terhasil (NRW), penyelesaian aduan dan tempoh pembaikan.
Untuk memastikan perkhidmatan air dalam keadaan baik, Fadillah berkata kerajaan memperuntukan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM7.7 billion bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) dengan meluluskan 82 projek.
“Daripada 82 projek terlibat, 23 projek untuk kecukupan bekalan air, 20 projek untuk peningkatan kualiti air, 20 projek pengurangan kadar air tidak terhasil, 16 projek penambahbaikan sistem agihan dan lain-lain tiga projek,” katanya.
Nnnn
