Muhyiddin minta PM tarik balik, mohon maaf

KUALA LUMPUR 7 Ogos – “Tambun, mohon maaf saja. Tarik balik kenyataan, saya rela dan akan terima maafnya sekarang juga,” demikian nasihat Ahli Parlimen Pagoh  Muhyiddin Yassin kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, jika Anwar tidak meminta maaf, beliau akan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya, Perdana Menteri perlu memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu yang merupakan satu fitnah walaupun ada imuniti di dalam Dewan Rakyat.

“Saya cuma nak minta satu perkara daripada Yang Amat Berhormat (YAB) Tambun, mohon maaf saja. Tarik balik kenyataan, saya rela dan akan terima maafnya sekarang juga,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Muhyiddin membangkitkan perkara itu susulan kenyataan Perdana Menteri di Dewan Rakyat Selasa lalu, yang mendakwa ada Ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi.

Anwar ketika menjawab soalan memberitahu Dewan Rakyat mendakwa ada wakil rakyat pembangkang yang mempertahankan orang asing, dengan membangkitkan mengapa penyasaran subsidi RON95 membebankan orang asing.

Dan semasa menjawab pencelahan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu siapakah dalam kalangan mereka (pembangkang) yang membuat kenyataan itu, Anwar merujuk kepada Muhyiddin.

“Yang Berhormat, ketua sendiri pun tak baca. Itu kenyataan ketua sendiri, Pagoh (Muhyiddin). Ya, lain kali baca dulu sebelum datang Parlimen. Jangan pakai hentam kromo je. Kalau dekat luar bolehlah, tak ada jawab.

Ini saya dah jawab. Baca kenyataan YB Pagoh, mengapa bebankan orang asing kerana orang asing pun ada sumbangan kepada negara. PM dia buat homework sebelum datang Parlimen.,” kata Anwar.

Susulan kenyataan itu, bekas Perdana Menteri itu, menerusi satu perkongsian di media sosial menafikan pernah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Semalam, Perdana Menteri, mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM/MCMC) menyiasat penafian Muhyiddin itu.

Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini Muhyiddin sebelum menamatkan perbahasannya sekali lagi menafikan yang beliau pernah mengeluarkan kenyataan itu.

“Kenyataan tersebut tidak benar sama sekali, saya ulang, tidak benar sama sekali carilah di mana-mana dalam dunia siber tidak akan ada kenyataan yang saya buat sebegitu, bermakna apa yang disebut Tambun nyata satu fitnah,” katanya.

Tegasnya walaupun ada imuniti di dalam Dewan, fitnah tetap fitnah sama ada di dalam atau di luar Dewan.

“Saya katakan mungkin sebagai sahabat, dia (Anwar) juga manusia biasa, cuma jawatan dia tinggi, saya pun pernah berada di situ. Jadi mungkin berlaku kesilapan. Jadi tak susah perdana menteri kata ‘Muhyiddin aku salah, minta maaf’, dia cakap begitu sahaja sudah selesai,” katanya.

Muhyiddin mendakwa, beliau dimaklumkan bahawa MCMC memanggil beliau untuk mengambil keterangannya sebagai saksi dalam siasatan isu itu.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada siasatan sudah dibuat ke atas Perdana Menteri yang mencetuskan kenyataan tidak benar itu.

“Bagi saya ini tidak berapa kena. Siasat saya dulu tapi saya sudah keluar kenyataan.
Kenyataan itu datang daripada beliau sendiri. Kenapa minta MCMC siasat, sumber mana beliau dapat tu?” katanya.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan beliau telah menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengesahkan SKMM telah diarahkan untuk memulakan siasatan.

“Saya terima surat yang telah pun mengarahkan SKMM menyiasat lebih lanjut tindakan, dari mana maklumat ini datang. Sebab itu, insya-Allah kita tunggu. SKMM akan siasat dari mana portal ini datang. Mungkin ada portal (laporkan Muhyiddin pertahan subsidi kepada warga asing), mungkin (ada), saya tak tahu,” kata Johari.

Bagaimanapun, Muhyiddin membalas bahawa SKMM sepatutnya memulakan siasatan terhadap Anwar terlebih dahulu.

“Kenyataan itu datang daripada beliau (Anwar) sendiri. Kenapa tak suruh SKMM siasat sumber mana dia dapat itu. Yang pasti kenyataan Anwar memang satu fitnah.

Kalau di Dewan Rakyat pun dia kata dia ada imuniti. Allah tak akan bagi imuniti. Sebab ini fitnah, hukumnya haram – dalam dewan pun haram, di luar pun haram,” tegasnya.

Anwar juga membuat kenyataan memalukan di Dewan Rakyat serta gagal mengikut nasihat SKMM bahawa tak pasti jangan kongsi dan setuju bahawa Perdana Menteri tidak membuat homework.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment