Malaysia kurang selesa prasyarat Deklarasi New York

KUALA LUMPUR 7 Ogos  – Malaysia mengambil sikap berhati-hati dengan prasyarat yang terkandung dalam Deklarasi New York untuk menubuhkan negara merdeka Palestin, biarpun secara prinsip setuju dan menyokong penuh hasrat itu.

Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata terdapat prasyarat yang bercanggah dengan dasar luar Malaysia dan menimbulkan rasa kurang selesa untuk memperakukan dokumen hasil yang dikeluarkan oleh negara-negara bersetuju.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan prasyarat berkenaan.

“Sekarang sedang dibahaskan juga bahawa ada usaha dibuat untuk diadakan suatu pendamaian yang kekal dengan cara untuk negara Palestin yang merdeka ditubuhkan.

“Kita bersetuju dengan tajuknya iaitu supaya negara Palestin yang merdeka dapat ditubuhkan segera. Tetapi kita kurang selesa dengan prasyarat-prasyarat yang diadakan kerana banyak perkara tidak selaras dengan dasar luar Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu langkah-langkah sedang diambil untuk mendesak komuniti antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar menghentikan serangan berterusan rejim Zionis ke atas Gaza.

Katanya, situasi semasa di Gaza semakin memburuk di mana rakyat Palestin yang menderita dan kebuluran terus ditindas oleh kegilaan rejim Zionis malahan
ramai yang terus dibunuh walaupun hendak mengambil bekalan bantuan.

Justeru, katanya Malaysia menerusi Kumpulan The Hague terus menuntut supaya diadakan gencatan senjata kekal supaya keamanan dapat dicapai di samping mendesak laluan kemanusiaan dibuka.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment