Singapura catat kes harian tertinggi

SINGAPURA 23 Sept. – Sebanyak 1,453 kes Covid-19 tempatan dan empat kes import dilaporkan di Singapura setakat tengah hari semalam (Rabu, 22 Sept), jumlah tertinggi dicatatkan negara itu sejak pandemik bermula awal tahun lalu.

Jumlah itu mengatasi keseluruhan jangkitan yang dicatat pada 20 April tahun lalu, apabila 1,426 kes dilaporkan, kebanyakannya melibatkan pekerja asing di asrama.

Semalam, kes baharu jangkitan tempatan termasuk 176 melibatkan penghuni asrama pekerja .

Pada masa yang sama tiga kes kematian berpunca daripada komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia di Singapura mencecah 68 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), kes pertama melibatkan lelaki Singapura berusia 65 tahun yang meninggal dunia pada Rabu. Beliau diuji positif Covid-19 pada 1 September dan belum divaksinasi.

Lelaki itu mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi serta tahap akhir penyakit ginjal.

Kes kedua pula membabitkan wanita Singapura berusia 90 tahun yang meninggal dunia pada 21 September. Beliau diuji positif pada 13 September dan sudah mendapatkan suntikan vaksin lengkap.

Wanita itu mempunyai sejarah penyakit angin ahmar, semput, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi dalam darah.

Kes ketiga melibatkan lelaki Singapura berusia 50 tahun yang juga meninggal dunia kelmarin. Beliau belum divaksinasi dan diuji positif pada 13 September . Lelaki itu tidak mempunyai sebarang masalah perubatan yang diketahui.

Dengan perkembangan ini, Singapura telah mencatat 81,352 kes Covid-19 dan 68 kematian .

Related posts

Leave a Comment