Turunkan defisit fiskal secara berfasa

KUALA LUMPUR 5 Ogos  – Kerajaan melaksanakan langkah menurunkan defisit fiskal secara berfasa dalam usaha mengurangkan beban hutang negara, kata  Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata, sekiranya defisit diturunkan secara mendadak, ia berisiko membantutkan peruntukan tambahan untuk sektor pendidikan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kesihatan.

Anwar berkata, peruntukan di bawah program STR dan SARA bertambah sehingga RM15 bilion manakala Kementerian Pendidikan mendapat tambahan tertinggi, iaitu sehingga RM64 bilion dan kesihatan RM45 bilion.

Beliau menjelaskan, dalam ekonomi makro kadar hutang akan bertambah jika defisit fiskal kekal tinggi, justeru ia perlu diturunkan secara berperingkat.

Katanya , pelaksanaan langkah itu sehingga kini menyaksikan kadar hutang baharu negara menurun setiap tahun, iaitu daripada RM100 bilion pada 2021 kepada RM76.8 bilion pada 2024.

“Pada 2022, defisit adalah 5.5 peratus sehingga diturunkan kepada 4.1 peratus pada 2024 kerana sasaran kita adalah menurunkan defisit secara berfasa.

“Jadi, defisit harus dikurangkan tapi jika terus belanja boros, maka hutang akan mencecah terlalu tinggi,” katanya menjawab soalan asal  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) pada Waktu Pertanyaan Menteri

Iskandar Dzulkarnain ingin tahu sama ada Kerajaan MADANI menguruskan hutang negara dengan bertanggungjawab berikutan hutang naik daripada RM1,079.1 bilion pada 2022 kepada RM1,247.6 bilion pada hujung 2024, yang hampir mencecah 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK).

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata berikutan dasar fiskal bertanggungjawab dilaksanakan kerajaan, keyakinan pelabur sama ada domestik atau asing terus meningkat.

“Jika kita membuat pengumuman, kita jalankan dasar ekonomi bertanggungjawab tapi defisit terus membengkak, dianggap tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu defisit mesti dikurangkan dan ini tentunya beban, maknanya kerajaan yang tegas dan berani saja boleh buat. Jika nak popular, hutang terus dan dibayar oleh generasi kemudian,” katanya.

Berhubung peningkatan hutang negara dari RM1,079.1 bilion pada 2022 kepada RM1,247.6 pada 2024, Perdana Menteri menjelaskan, ia adalah perbelanjaan pembangunan, bukan mengurus.

“Kita tidak hutang untuk belanja mengurus. Kita hutang walaupun berkurang jumlah hutang itu untuk belanja pembangunan kerana kedudukan sekolah, hospital, luar bandar dan tebatan banjir, seperti yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment