Ucapan tahniah dari Iran

PUTRAJAYA 30 Ogos – Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob berharap operasi penerbangan Mahan Air yang berpangkalan di Iran ke Kuala Lumpur dapat disambung semula secepat mungkin.

Justeru beliau berharap isu pemberhentian operasi Mahan Air  sejak 13 Ogos lalu berikutan isu teknikal membabitkan pengisian bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dapat diselesaikan segera.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan bersama Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi hari ini ketika menerima panggilan telefon daripadanya.

Semua penerbangan terus dari Iran ke Malaysia dihentikan sepenuhnya susulan tidak dibenarkan lagi untuk mengisi bahan api di negara ini kesan sekatan Amerika Syarikat (AS).

Setiausaha Persatuan Penerbangan Iran memberitahu Iranian Labour News Agency (ILNA), penerbangan terakhir Iran ke Kuala Lumpur akan dikendalikan Mahan Air yang juga satu-satunya syarikat penerbangan selain Iran Air yang terbang terus ke Malaysia, lapor Iran International.

Mahan Air mula beroperasi pada 1992,  syarikat penerbangan swasta pertama di negara Asia Barat itu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, dalam perbualan sama, Presiden Iran itu turut mengucapkan tahniah sempena Hari Kebangsaan Malaysia yang akan disambut esok.

“Antara perkara yang telah dibincangkan adalah hubungan dua hala Malaysia dan Iran, serta isu lain yang membabitkan kepentingan umat Islam,” katanya

Dari segi hubungan dua hala, Ismail Sabri berkata, Malaysia amat berpuas hati dengan keakraban hubungan antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 1968 dan Malaysia akan terus komited dalam meneruskan momentum pengukuhan hubungan dua hala dengan Iran.

Pada 2021, Iran adalah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Asia Barat, dengan jumlah dagangan dua hala pada tahun itu bernilai RM2.63 billion, peningkatan sebanyak 68.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Related posts

Leave a Comment