KUALA LUMPUR 5 Ogos – Usaha mediasi antara Thailand dan Kemboja dilaksana dengan mengguna pakai mekanisme dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, mekanisme berkenaan, adalah Malaysia bertindak sebagai pengerusi, tuan rumah dan juga pemerhati proses rundingan damai berkenaan selepas memperoleh persetujuan daripada kedua-dua negara terbabit.
“Mekanisme yang diputuskan ialah Malaysia chair, host, witness. Itu yang dipersetujui oleh kedua-dua negara, Kemboja dan Thailand,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Shahidan Kassim (PN-Arau) sama ada kerajaan ingin menggunakan Forum ASEAN untuk memastikan negara anggota ASEAN dipertahan daripada gangguan luar.
Anwar berkata, beliau menghubungi kesemua pemimpin ASEAN untuk memperoleh mandat dan dokongan termasuk melaporkan setiap kemajuan kepada mereka.
Pada 28 Julai, pemimpin Thailand dan Kemboja yang bertemu di Malaysia dibawah perantaraan Anwar setuju untuk melakukan gencatan senjata selepas berlaku ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai setuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat berhubung dengan isu pertikaian sempadan, hasil daripada mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar di Putrajaya.
Beliau menegaskan apa yang dilakukannya itu demi menjaga semangat kesepaduan dan kerjasama ASEAN.
“Saya tidak mahu sebut kejayaan sangat. Sebab keadaan masih lagi sensitif, tegang dan ada saling tuduh-menuduh. Tetapi yang baiknya adalah setiap kali ada (ketegangan), terus dirujuk, sama ada (kepada) Menteri Luar ataupun kepada saya dan kini juga kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), Anwar berkata mandat Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dengan Kemboja tidak terlalu mengikat Malaysia sebagai pengerusi blok Asia Tenggara itu untuk melanjutkan peranan dalam isu berkenaan.
Justeru beliau berharap mandat itu diteruskan, biarpun selepas ini Malaysia tidak lagi dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi ASEAN.
“Mandat diberikan itu, diminta saya teruskan sehingga keadaan itu selesai. Jadi tidak terikat sangat dengan kedudukan sebagai pengerusi ASEAN dan tempoh penyelesaian ini memang kita jangka selewat-lewatnya dalam tempoh tiga bulan.
Tetapi dalam mana-mana rundingan, kita tak boleh hadkan. Cuma yang kita tegaskan ialah mesti berlaku gencatan senjata,” katanya.
Dengan cara ini, Anwar berkata ia dapat mengelak penyertaan dan pembabitan negara kuasa besar dalam rundingan antara negara anggota ASEAN.
“Kalaupun ada pasukan pendamai di sempadan, ia haruslah hanya terbatas kepada kehadiran wakil-wakil atau tentera negara ASEAN. Kalau bantuan logistik dari Amerika Syarikat (AS) dan China, itu kita alu-alukan kalau diberi beberapa kemudahan. Itu yang ditekankan setakat ini,” katanya.
Nnnn
