KUALA LUMPUR 5 Ogos – Pembelian pesawat Boeing dan Airbus dibuat berdasarkan keperluan operasi sebenar dan rundingan strategik yang turut melibatkan pelaburan serta pengeluaran dalam negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menjelaskan demikian di Dewan Rakyat hari ini berkata, langkah itu penting berikutan peningkatan permintaan laluan penerbangan yang sebelum ini dibatalkan.
“Kita kena beli. Dan kita kena beli banyak sebab laluan yang kita batalkan itu terlalu banyak keperluan dan permintaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dalam sesi Soal Jawab.
Beliau memberitahu, keputusan pembelian tersebut dibuat oleh Malaysia Airlines Group (MAG) hasil rundingan yang telah berjalan sejak dua tahun lalu, termasuk dengan pihak Boeing dan Airbus, tanpa sebarang campur tangan politik.
“Menteri MITI dah jelaskan semalam, itu keputusan MAG. Mereka ada dua pilihan. Pesawat itu memang perlu dibeli.
Ini kerana buat pertama kali sejak tahun 2004, setelah bertahun-tahun mencatat kerugian, MAG berjaya meraih keuntungan kerana pengurusan yang cekap dan telus. Kita tidak campur tangan dari segi politik,” katanya.
Katanya, pesanan besar dibuat sejak tahun lalu melibatkan pesawat wide-body Airbus dan Boeing, di samping rubdingan turut dibuat dengan Brazil dan China bagi pilihan pesawat lain.
Beliau berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga meletakkan syarat kepada syarikat pengeluar supaya sebahagian besar komponen dan pemasangan dilakukan di dalam negara bagi memastikan terdapat limpahan ekonomi domestik.
“Syarat kita dengan Boeing adalah agar sebahagian pengeluarannya dilakukan di sini. Kalau tengok sayap Airbus, banyak dibuat di Negeri Sembilan, Kulim, dan juga di Selangor. Begitu juga komponen untuk Boeing,” katanya.
Tengku Zafrul sebelum ini menjelaskan Malaysia akan membeli sejumlah 26 buah pesawat Boeing dalam dua fasa perjanjian yang dianggarkan bernilai hampir AS$19 bilion.
Pembelian itu adalah sebahagian daripada perjanjian komersil yang berterusan dengan Amerika Syarikat dan diketengahkan semasa rundingan perdagangan Malaysia, baru-baru ini.
Malaysia sebelum ini telah pun membeli 50 buah pesawat Airbus ketika lawatan ke Perancis.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa pembelian pesawat baharu berkenaan adalah bagi menampung permintaan yang semakin meningkat dan bagi tempahan pesawat Boeing yang dibuat pada tahun ini, penghantaran paling awal adalah menjelang 2030.
“Jadi, MAG kena buat perancangan awal untuk ganti kapal terbang lama. Orang nak beli kereta pun ada yang kena tunggu sampai lebih setahun kalau model itu ‘panas’.
“Itu kereta yang ada banyak pembekal, inikan pula beli kapal terbang yang cuma ada dua pembekal utama iaitu, Boeing dan Airbus. Lagilah kena tempah awal untuk pastikan boleh dapat kapal terbang ini tepat pada waktunya.
“Takkan kena tunggu sampai kapal terbang itu uzur, tak boleh terbang baru cari kapal terbang yang baharu. Itu baru nak ganti kapal terbang lama, belum masuk lagi untuk membesarkan armada,” katanya
Tengku Zafrul berkata, berdasarkan graf penumpang pesawat di Malaysia, terdapat peningkatan dari tahun ke tahun dengan 11 juta pada 2021, 55 juta pada 2022, 85 juta pada 2023, 98 juta pada 2024 dan anggaran 113 juta pada tahun ini.
Sehubungan itu, katanya MAG perlu menambah pesawat untuk menampung permintaan yang semakin tinggi dan jika tidak berbuat demikian, penumpang akan guna syarikat penerbangan lain.
“MAG akan terlepas peluang untuk menambah untung, jadi kena beli kapal terbang yang baharu,” katanya.
Menjelaskan dakwaan bahawa pembelian pesawat Boeing itu dibeli oleh kerajaan, Tengku Zafrul berkata syarikat penerbangan nasional itu telah membuat pengiraan awal sama ada keputusan itu akan menjana untung atau rugi.
“Jika tak untung, mereka tak beli. Pembelian kapal terbang terbabit adalah untuk MAG menjana pendapatan.Jadi, apa kena mengena dengan cukai pula?” katanya.
Nnnn
