KUALA LUMPUR 4 Ogos – Perikatan Nasional (PN) mencadangkan penubuhan REE NationalCorporation (REENAS), sebuah syarikat milik negara sama seperti penubuhan Petronas yang menguruskan minyak.
Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin berkata Reenas berperanan menguruskan unsur nadir bumi demi kepentingan negara dan negeri.
“Lakukan segera dan berikan keadilan kepada negeri-negeri yang mempunyai unsur nadir bumi (REE). Inilah masanya untuk kerajaan YAB Tambun buktikan kata-kata Ibnu Khaldun dan Deng Xiaoping yang Tambun petik dalam konteks iltizam moral dan keadilan.
Buktikannya melalui tindakan, bukan hanya sekadar retorik kata-kata supaya jurang trust defisit antara satu sama lain tidak semakin melebar,” kata Ahli Parlimen Larut itu ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Hamzah berkata, kita harus bersyukur kerana dikurniakan sumber nadir bumi (REE) sebagai sumber kekayaan baharu negara.
“Kalau dulu, bijih timah menjadi sumber kekayaan kepada negeri-negeri di Pantai Barat, hari ini REE ditemukan di negeri-negeri yang diperintah Perikatan Nasional. Maka, segala dasar harus mengambil kira kekayaan bersama, sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri khususnya Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya.
Nnnn
