Bendera terbalik dipasang OKU

SEREMBAN 3 Ogos  – Pekerja yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson baru-baru ini merupakan orang kurang upaya (OKU) akal.

Exco Perpaduan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa (DAP) berkata, kesilapan pemasangan Jalur Gemilang itu bukanlah disengajakan dan beliau berharap agar ia tidak terus ditularkan.

“Mohon mencelah sedikit, saya yang turun sendiri pada hari kejadian berlaku kerana saya menyelaras program antara ahli Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan pihak sekolah itu.

“Hal ini berlaku kerana pihak guru besar melibatkan seorang pekerja OKU akal (mental) dan dia yang memasang bendera di sekitar sekolah.

“Dia menggunakan bendera yang lama, dan apabila memasangnya, ia dipasang secara terbalik. Selepas dimaklumkan oleh orang ramai, dalam tempoh dua jam bendera tersebut telah diturunkan,” katanya pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN–Jeram Padang) berkenaan isu Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di sebuah SJKC di Port Dickson.

“Saya rasa ini satu kesilapan kecil dan boleh dimaafkan. Datuk Yang Dipertua (Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman), saya harap isu ini tidak diviralkan lagi kerana saya sendiri yang turun padang menyelaraskan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang Keadilan Port Dickson, Kenny Chiew Chi Kin, juga menjelaskan pemasangan bendera itu dilakukan oleh pekerja OKU.

“Pemasangan bendera itu dilakukan seorang pekerja sekolah berstatus OKU bersama seorang lagi pekerja am yang membantu menghias kawasan sekolah selepas waktu persekolahan.

“Tujuan mereka adalah untuk menyambut Bulan Kebangsaan dan mewujudkan suasana sambutan yang penuh semangat patriotik tanpa sebarang niat tidak baik atau unsur tidak menghormati.

Selepas insiden disedari, pihak sekolah segera membetulkan kedudukan Jalur Gemilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, guru besar juga sudah memohon maaf secara terbuka kepada semua warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat serta memberikan penjelasan penuh kepada pihak media.

“SJKC Chung Hua Port Dickson sentiasa menitikberatkan pendidikan patriotisme dan menghormati Jalur Gemilang. Sekolah tidak pernah mempunyai sebarang unsur yang boleh dianggap tidak menghormati lambang negara.

Kami menyeru semua pihak untuk melihat perkara ini secara rasional sebagai satu kecuaian manusia semata-mata tanpa diperbesarkan atau dipolitikkan sehingga menimbulkan kekeliruan dan tekanan yang tidak perlu kepada pihak sekolah dan murid-murid,” katanya.

Related posts

Leave a Comment