Laporan polis berkaitan kesan lebam

Screenshot

SIPITANG 3 Ogos- Satu laporan polis baharu dibuat Noraidah Lamat, 45, ibu Zara Qairina Mahathir hari ini berhubung kematian anaknya pada 16 Julai lalu.

Ibu mangsa membuat laporan itu selepas teringat kesan lebam pada belakang badan Zara Qairina yang dilihatnya ketika memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I, di Kota Kinabalu, pada 17 Julai.

Peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri melalui kenyataan bersama hari ini, berkata Noraidah memaklumkan beliau sendiri melihat kesan lebam itu ketika memandikan jenazah anaknya itu bersama beberapa wanita lain.

Katanya, anak guam mereka tidak memasukkan fakta penting ini dalam laporan-laporan polisnya sebelum ini kerana dia terlupa sepenuhnya mengenai perkara itu.

Noraidah hanya teringat semula perkara itu selepas ditanya oleh peguam berkenaan semalam berhubung keadaan tubuh Zara Qairina ketika proses pengurusan jenazah dijalankan.

“ Anak guam kami percaya kesan-kesan lebam yang dilihatnya adalah kesan-kesan kecederaan yang diakibatkan oleh pukulan-pukulan menggunakan objek tumpul ke bahagian belakang Zara,” kata kenyataan bersama peguam berkenaan.

Kenyataan media pada 1 Ogos lalu menyebut anak guam mereka membuat laporan polis pada 31 Julai lalu berkenaan rakaman perbualan telefonnya  dengan Zara di mana Zara memaklumkan terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggunya.

“ Ada yang mengugut dengan berkata “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni. Maklumat ini mungkin mempunyai kaitan dengan maklumat terbaharu yang disalurkan anak guam kami kepada polis pagi ini,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, peguam turut menggesa kubur Zara Qairina digali semula dengan segera bagi membolehkan satu bedah siasat dijalankan ke atas jenazah bagi menentukan punca sebenar kematian dan sama ada wujud unsur jenayah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment