PRN: PH, GRS, BN runding, Warisan , PN solo

KOTA KINABALU 3 Ogos – Pakatan Harapan (PH) sedang berunding dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mengelak pertembungan di antara tiga gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata itu persefahaman ketika ini yang cuba dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga gabungan dapat bekerjasama menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Persefahaman kita sekarang ialah kita cuba buat ketetapan agar tiada pertembungan di antara tiga gabungan ini. Kita cuba mengelak untuk memasuki pertempuran antara sesama sendiri disebabkan begitu banyak perbezaan.

“Tapi, saya tidak mahu buat andaian awal kerana niat kita ialah mahu pastikan ada persefahaman penuh di antara ketiga-tiga pihak,” katanya ditemui pemberita selepas menyampaikan Amanat Khas Presiden, Gerak Gempur Menang PRN Sabah anjuran PKR, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata demikian ketika ditanya pendirian PH, sama ada memilih BN atau GRS untuk bekerjasama, memandangkan GRS dan BN menyatakan saling tidak mahu bekerjasama untuk menghadapi PRN17.

Presiden PKR itu juga tidak menolak kemungkinan timbul kekeliruan rakyat di kawasan tertentu yang berdepan konflik berhubung isu kerjasama di antara PH, BN dan GRS malah  mengakui situasi PH ketika ini umpama berdepan cinta tiga segi yang ada kalanya menyenangkan dan ada sedikit duka.

Sebelum ini, Warisan dan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan bertanding secara solo pada PRN ini.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan parti itu akan bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bersedia dengan barisan calon berpotensi yang menepati kriteria ditetapkan parti, termasuk kebolehmenangan dan komitmen terhadap perjuangan parti serta rakyat.

“Kita akan bertanding di 73 kerusi yang ada, kita juga mempunyai potensi calon-calon yang boleh menang, calon yang tidak melompat dan calon yang perlu memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Imam Laggu, Jalan Kunak-Semporna, baru-baru ini.

Sementara Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyindir tindakan sesetengah pemimpin yang melaungkan perjuangan parti tempatan tetapi pada masa sama membentuk pakatan politik bercelaru yang dilabel sebagai ‘cinta tiga penjuru’ dan tidak membawa manfaat kepada rakyat.

“Mahu pergi solo bertanding pun susah. Buat konvensyen mahu solo, bukan main semangat, meletup dewan. Tetapi bila jumpa PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), takut. Apa jadi?

“Wujudlah gabungan cinta tiga penjuru. Yang ini bergabung dengan yang ini, yang sebelah sana pula bergabung dengan yang lain. Siapa untung? Yang tengah-tengah. Dia sedarkah cinta tiga penjuru?” katanya pada majlis Jelajah Rakyat PN baru-baru ini.

Menurut beliau, PN tidak gentar untuk bertanding secara bersendirian kerana pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, dan yakin masih mendapat sokongan rakyat.

“Mahu takut apa? Ini logo kerajaan PN pertama di Sabah. Saya tahu rakyat Sabah masih cinta dan sayang kepada PN. Betul ke tidak?” katanya.

Beliau turut mengkritik slogan retorik ‘Sabah untuk Sabah’ yang didakwanya digunakan secara selektif oleh sesetengah parti.

“Mereka kata berjuang untuk Sabah tetapi kenapa ada masalah tidak selesai? Mereka kata hanya parti Sabah boleh memerintah, tapi lesen cari gali diberi kepada orang Malaya (Kita pergi solo, tidak perlu wujud cinta tiga penjuru. Bilang Sabah untuk Sabah, bilang hanya parti Sabah tidak betul,” ujarnya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment