SEREMBAN 3 Ogos – Maaf, kecuaian tidak disengajakan! Demikian kenyataan
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Port Dickson yang memohon maaf secara terbuka susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik.
Dalam kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah, mereka meluahkan rasa kesal terhadap insiden yang tidak disengajakan.
Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada petang 1 Ogos apabila seorang pekerja sekolah memasang bendera sebelum tamat waktu bekerja, dan tanpa disedari satu daripadanya dipasang secara terbalik.
“Pihak sekolah menerima makluman mengenai perkara itu sekitar jam 5 petang dan segera mengambil tindakan membetulkannya,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook SJKC Chung Hua Port Dickson.
Pihak sekolah turut mengakui insiden berkenaan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran awam, terutama apabila ia tular di media sosial.
Sehubungan itu, pihak sekolah berjanji akan terus menjalankan tanggungjawab pendidikan dengan penuh integriti serta menegaskan komitmen untuk sentiasa menghormati simbol kedaulatan negara.
Selain itu, SJKC Chung Hua turut berikrar memperkukuh prosedur pemantauan dan pelaksanaan serta meningkatkan tahap kewaspadaan dan ketelitian bagi mengelakkan kejadian yang sama tidak berulang.
Nnn
