KUALA LUMPUR 29 Julai – Pengguna lebuh raya dijangka menjimatkan RM136 sebulan atau RM1,632 setahun susulan penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya seperti diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi, penjimatan itu berdasarkan kadar tol semasa dikekalkan pada RM3.50 untuk perjalanan sehala berbanding kadar tol perjanjian konsesi pada 2025 ialah RM6.90.
“Sekiranya jumlah penjimatan ini didarabkan selama 20 hari, iaitu penggunaan bagi tempoh sebulan atau 240 hari (setahun), penjimatan yang akan dinikmati oleh pengguna terbabit ialah RM136 sebulan atau RM1,632 setahun,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai implikasi kepada pengguna lebuh raya sekiranya kerajaan tidak menangguhkan kenaikan kadar tol pada 2025.
Menurut Nanta, hampir sejuta pengguna akan merasai impak signifikan susulan penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya berkenaan.
Beliau berkata, kuantum kadar kenaikan bagi kenderaan kelas satu berdasarkan perjanjian konsesi bagi 10 lebuh raya terbabit adalah antara 50 sen hingga RM4.56 atau sebanyak 79 hingga 83 peratus.
Perdana Menteri dalam pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia pada 23 Julai lalu berkata kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Antara lebuh raya terbabit ialah ialah Lebuhraya MEX, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Senai–Desaru (SDE), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya KL–Kuala Selangor (LATAR).
Nnn
