Larang usia bawah 13 punyai akaun media sosial

KUALA LUMPUR 29 Julai –  Dewan Rakyat hari ini diberitahu, Kementerian Komunikasi mempertimbang untuk tidak membenarkan kanak-kanak bawah usia 13 tahun mempunyai akaun media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bagi yang berusia 13 tahun ke atas, modul literasi digital perlu diberi kepada mereka supaya memahami kerencaman maklumat yang sedia ada.

“Sekiranya ahli Yang Berhormat bertemu dengan mana-mana kumpulan pelajar bawah 13 tahun dan bertanya kepada mereka adakah anda mempunyai akaun TikTok, ramai yang akan kata ya.

“Ini sebenarnya satu kesalahan yang diakui oleh pihak TikTok sendiri. Jadi, kita sedang teliti, salah satu caranya ialah bawah 13 tahun kita tidak membenarkan mempunyai akaun media sosial,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berhubung cadangan mewujudkan dasar khas kebangsaan bagi kesejahteraan kanak-kanak khususnya bagi kandungan dalam talian.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan 1,443 kandungan jelik dan jelik melampau melibatkan kanak-kanak telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan berikutan permohonan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, tindakan ini berikutan pelanggaran peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan komuniti penyedia platform.

Beliau berkata, sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia, MCMC mengambil pendekatan menyeluruh untuk memastikan kandungan yang memudaratkan seperti konten anomali, toksik dan merosakkan kognitif seperti ‘brain rot’ dapat dikawal dan pendedahan terhadap pengguna muda termasuk remaja dan kanak-kanak dapat dicegah.

Katanya , antara langkah kawal selia yang telah dan sedang dilaksanakan adalah sesi libat urus berterusan dengan penyedia perkhidmatan platform seperti YouTube dan TikTok bagi memastikan sistem algoritma mereka lebih telus dan selaras dengan kehendak peraturan tempatan.

“Ini termasuk keperluan untuk mengehadkan pendedahan pengguna kepada kandungan yang berunsur negatif atau memudaratkan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment