Bukan mudah mansuhkan tol lebuh raya

KUALA LUMPUR 29 Julai – Memansuhkan bayaran tol bukan langkah yang mudah, terutama mengambil kira implikasi dana besar terpaksa ditanggung kerajaan, demikian pengakuan Menteri Kerja Raya (KKR) Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata isu dana akan timbul apabila kerajaan perlu mencari dana yang cukup besar, contohnya untuk tujuan penyelenggaraan sendiri lebuh raya yang dianggarkan akan mencecah berbilion ringgit.

“Bukan mudah nak mansuhkan tol… kalau mansuh, kerajaan mesti cari dana besar untuk buat kerja penyelenggaraan sebenarnya, jadi untuk tujuan ini perlu dana besar berbilion ringgit,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai janji pilihan raya dibuat pihak pembangkang sebelum ini untuk menghapuskan tol sekiranya berjaya menjadi kerajaan, selain implikasi jika ia dilaksanakan.

Nanta bagaimanapun berkata langkah menurunkan kadar tol yang dikenakan mungkin lebih realistik, namun ia tertakluk kepada kedudukan syarikat konsesi lebuh raya terutama selepas mereka sudah mencapai tahap keuntungan atau ROI (pulangan pelaburan).

“Kita tak perlu mansuhkan, cuma kalau tempoh syarikat konsesi ini sudah mencapai keuntungan atau ROI, bolehlah pada masa itu kadar tol yang dikatakan membebankan sekarang ini diturunkan… itu lebih relialistik,” katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan Sh Mohmed Puzi Sh Ali (PN-Pekan), beliau berkata kerajaan menanggung kos pampasan RM568.92 juta atau lebih setengah bilion kepada syarikat konsesi yang mengendalikan 10 lebuh raya berikutan keputusan kerajaan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya pada tahun ini.

Bagaimanapun, katanya langkah penangguhan kenaikan kadar tol itu memberi manfaat kepada kira-kira 941,000 pengguna di lebuh raya berkenaan.

“Jumlah pampasan sebenar yang perlu (kerajaan kepada syarikat konsesi akibat pengangguhan ini) adalah berdasarkan jumlah trafik sebenar. Ini (jumlah RM568.92 juta) adalah (anggaran) purata kita (mengambil kira) dapatan masa lalu, tapi jumlah akhir tertakluk juruaudit operasi pihak kerajaan dan konsesi,” katanya.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment