KUALA LUMPUR 24 Julai – Sekretariat perhimpunan di ibu negara pada Sabtu ini Himpunan turun Anwar memberi jaminan acara yang dijadualkan berlangsung tidak akan mencetuskan sebarang provokasi yang tidak diingini.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata setiap garis panduan yang sudah ditetapkan pihak berkuasa akan dipatuhi.
Bercakap pada sidang media di sini, beliau memberi jaminan semua peserta akan menunjukkan tingkah laku yang baik dan menyertai aktiviti yang disediakan sahaja, tiada tindakan protes membakar atau merosakkan harta benda awam.
“Pada hari itu, kita hanya akan berarak mengikut ‘check point-check point’ yang diatur dan mendengar taklimat serta berdoa… itu sahaja, dan kita memberi jaminan sebarang provokasi tidak akan tercetus dalam perhimpunan ini.
Sekiranya ada, ia bukan aktiviti yang dirancang atau dilakukan oleh pihak kita. Skuad Amal akan segera mengambil tindakan membendung usaha provokasi itu sekiranya ada dan menyerahkan suspek kepada polis,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan sejumlah 300,000 peserta dianggarkan menyertai perhimpunan itu.
