GAZA – Sekurang-kurangnya 10 lagi rakyat Palestin mati kebuluran di Semenanjung Gaza yang dikepung, menjadikan angka yang terkorban akibat kekurangan zat makanan sejak perang Israel bermula pada Oktober 2023 meningkat kepada 111.
Dalam tempoh 24 jam, Kementerian Kesihatan Gaza, memberitahu sekurang-kurangnya 100 rakyat Palestin termasuk 34 individu yang bertindak sebagai pencari bantuan dilaporkan maut.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, 21 kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah antara mereka yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan setakat tahun ini.
WHO tidak dapat menghantar sebarang makanan selama hampir 80 hari, antara Mac dan Mei dan penyambungan semula penghantaran makanan masih tidak memadai berbanding apa yang diperlukan.
Dalam satu kenyataan, 111 pertubuhan termasuk Mercy Corps, Majlis Pelarian Norway dan Refugees International, berkata ‘kebuluran besar-besaran’ merebak ketika bertan-tan makanan, air bersih dan bekalan perubatan tidak disentuh di luar Gaza, di mana akses terhadap bantuan terbabit disekat.
Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum yang melaporkan dari Deir el-Balah, kawasan di tengah Gaza, ‘kebuluran berada di tahap kritikal, keluarga di situ tidak lagi meminta makanan yang cukup, sebaliknya meminta apa yang boleh dimakan.
Katanya, penduduk Gaza menggambarkan sedang berlaku ‘kematian secara perlahan dan menyakitkan akibat kebuluran yang didalangi tentera Israel’.
Bagaimanapun, Israel menolak kritikan antarabangsa yang semakin meningkat bahawa negara itu bertanggungjawab terhadap kekurangan makanan kronik di Gaza, sebaliknya menuduh Hamas sengaja mencetuskan krisis kemanusiaan di wilayah Palestin itu.
Jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, berkata ‘tiada kebuluran yang disebabkan oleh Israel. Sebaliknya, kekurangan ini berpunca daripada perancangan manusia oleh Hamas’.
Presiden Israel, Isaac Herzog, ketika melawat pasukan tenteranya di Gaza, menegaskan bahawa Israel bertindak mengikut undang-undang antarabangsa.
