Pembenihan awan bermula di Riau

JAKARTA – Indonesia akan memulakan operasi pembenihan awan sekurang-kurangnya selama tujuh hari mulai hari ini bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang semakin buruk di Wilayah Riau.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata operasi itu boleh dilanjutkan bergantung kepada keadaan di lapangan.

Beliau berkata, sebuah pesawat Cessna dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Pondok Cabe di Wilayah Banten pada Ahad, dan operasi pembenihan awan akan menggunakan natrium klorida (NaCl) untuk merangsang hujan di kawasan yang terjejas akibat kebakaran.

Data daripada Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan terdapat 1,208 titik panas di seluruh Sumatera setakat semalam, termasuk 586 di Riau, dan laporan stesen penyiaran tempatan Metro TV menyatakan jerebu yang terhasil telah sampai ke beberapa bahagian di Malaysia.

BNPB turut mengerahkan sebuah helikopter Bell 206 untuk rondaan udara dan memindahkan sebuah helikopter pengebom air Mi-8MSB-T dari Palembang ke Riau manakala pasukan petugas darat turut digerakkan melibatkan pegawai bencana, anggota tentera, polis, pasukan bomba serta sukarelawan.

Related posts

Leave a Comment