PUTRAJAYA 13 Dis. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama di Bangunan Perdana Putra, di sini, selepas rombakan Kabinet diumumkannya semalam.
Mesyuarat yang bermula pukul 9.30 pagi itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan semua barisan menteri baharu, manakala seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof sedang menunaikan umrah.
Difahamkan dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri menyampaikan amanat serta taklimat berhubung perjalanan, peraturan dan hala tuju Kerajaan Perpaduan pimpinannya.
Semua menteri turut beramah mesra dalam kalangan mereka, terutama bersama menteri yang baharu dilantik.
Hari ini juga, semua menteri serta timbalan menteri yang baharu, memulakan tugas rasmi di kementerian masing-masing dengan menghadiri sesi ‘clock in’, selain majlis majlis serah terima tugas.
Semalam Anwar mengumumkan beberapa perubahan, termasuk menampilkan muka baharu sebagai menteri dan timbalan menteri, antaranya bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II.
Rombakan itu turut menampilkan semula beberapa bekas menteri, antaranya Johari Abdul Ghani di Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dr Dzulkefly Ahmad yang kembali menerajui Kementerian Kesihatan dan Gobind Singh Deo sebagai Menteri Digital.
Beberapa kementerian turut menyaksikan pengasingan protfolio, membabitkan Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipecahkan menjadi Kementerian Komunikasi serta Kementerian Digital.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dipecahkan menjadi Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
