KUALA LUMPUR 21 Julai – Malaysia bersama-sama negara anggota ASEAN sedang mengusulkan reformasi terhadap kuasa veto lima anggota tetap (P5) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata walaupun resolusi berkaitan isu Gaza diluluskan dengan sokongan majoriti dalam Perhimpunan Agung PBB, pelaksanaannya sering kali terbantut akibat kuasa veto lima negara itu.
Negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB itu terdiri daripada China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Mohamad berkata, rombakan dan perubahan perlu dilakukan supaya kuasa veto itu tidak mengatasi resolusi yang telah diluluskan secara sebulat suara pada Perhimpunan Agung PBB.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai tindakan lanjut Wisma Putra susulan resolusi Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) baru-baru ini yang menyentuh kekejaman rejim Zionis.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN-GCC itu menandakan kejayaan diplomasi Malaysia apabila buat kali pertama kenyataan bersama dapat dikeluarkan berhubung isu Gaza.
“Sebelum ini, nak dapat kenyataan bersama dalam kalangan negara ASEAN pun sukar. Tetapi, kini kita sudah berjaya melaksanakannya, termasuk mengadakan sidang bersama dengan Jepun dan Korea untuk membincangkan isu rakyat Gaza,” katanya.
Nnnn
