PUTRAJAYA 18 Julai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 62 dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu menggantikan penyandang terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib.
Pelantikan beliau diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan rundingan bersama Majlis Raja-Raja.
Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan lewat tengah malam tadi turut mengumumkan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang jawatan itu yang bakal bersara.
Pelantikan mereka berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” kata kenyataan itu.
Sebuah portal sebelum ini melaporkan nama Wan Ahmad Farid adalah antara yang dipertimbangkan untuk jawatan tertinggi kehakiman itu.
Wan Ahmad Farid adalah hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024, selepas dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015.
Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari Mac 2008 hingga April 2009, dan merupakan timbalan ketua bahagian UMNO Kuala Terengganu pada 2001.
Sebagai bekas hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid telah membuat beberapa keputusan yang mencuri tumpuan termasuk menarik diri daripada mempengerusikan permohonan untuk membenarkan Queen’s Counsel (QC) dari United Kingdom bertindak bagi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam rayuan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.
Beliau membuat keputusan itu selepas menyebut salah seorang ahli keluarganya adalah ahli parti Najib.
Pada 11 Mei 2023, beliau juga memutuskan bahawa anak-anak Loh Siew Hong telah memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang negeri Islam Perlis, dengan afidavit pihak berkuasa Islam negeri mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada 2020.
Pada November tahun lalu, Wan Ahmad Farid mengarahkan polis menyelesaikan siasatan ke atas kematian Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan, memutuskan bahawa terdapat kelewatan yang melampau dalam siasatan.
Nnnn
