Pemuda negeri, bahagian tolak iktiraf UEC

SEPANG 11 Dis. – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) susulan kenyataan Naib Ketua Pemuda DAP (DAPSY) yang mengecam Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berhubung isu tersebut.

Ketua Penerangan, Nasrun Nasaruddin berkata, Pemuda UMNO sebagai benteng mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air akan terus mempertahankan agar pengiktirafan itu tidak dilaksanakan.

Katanya, UEC yang dilaksanakan sekolah menengah persendirian Cina merupakan sistem alternatif yang tidak selari dengan prinsip pendidikan kebangsaan berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan kurikulum nasional.

“Berdekad, sistem pendidikan kebangsaan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dan kurikulum nasional. Kita bimbang pengiktirafan UEC boleh melemahkan sistem kebangsaan dan menyumbang kepada pemisahan aliran pendidikan mengikut kaum atau komuniti tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekolah aliran kebangsaan telah menjadi asas penyatuan rakyat sejak merdeka dan usaha mengiktiraf UEC berpotensi menjejaskan perpaduan nasional.

“Pengiktirafan UEC hanya akan memecah-belahkan perpaduan antara kaum dalam negara. Kami juga bimbang graduannya mungkin kurang identiti nasional kerana penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa penghantar bagi banyak subjek,” katanya.

Menurut Nasrun, Akta Pendidikan 1996 sudah menetapkan sistem pendidikan negara perlu berpaksikan Bahasa Melayu dan kurikulum kebangsaan.

Beliau turut menggesa DAP memberi keutamaan kepada penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pemimpin dan akar umbi parti itu sebelum mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.

“Sebelum bersungguh iktiraf UEC, buat kelas Bahasa Malaysia kepada pemimpin yang berbangsa Cina. Duduk di Malaysia puluhan tahun tapi bahasa macam budak darjah satu,” katanya.

Nasrun menegaskan, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan akan terus mempertahankan pendirian tersebut demi menjaga dasar pendidikan dan perpaduan yang telah dibina sejak generasi terdahulu.

Sementara itu, Pemuda UMNO Alor Gajah menolak sekeras-kerasnya desakan DAP yang sekali lagi cuba menekan kerajaan untuk mengiktiraf UEC.

Ketuanya Amirul Basiron berkata, sikap DAP itu jelas menunjukkan mereka tidak menghormati asas pembinaan negara bangsa dan tidak peduli terhadap kedudukan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang telah menjadi tonggak penyatuan rakyat sejak merdeka.

Katanya, pengiktirafan ini bukan sahaja tidak membantu integrasi nasional, malah berpotensi melemahkan identiti pendidikan kebangsaan yang dibina bersama selama puluhan tahun.

UEC katanya tidak selari dengan kurikulum kebangsaan, tidak mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, malah mewujudkan ruang pendidikan yang terpisah daripada arus perdana.

“Malaysia bukan medan uji kaji untuk memenuhi tuntutan politik sempit mana-mana parti,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Pemuda Alor Gajah juga menegaskan bahawa apa jua dasar pendidikan negara tidak boleh dibentuk berdasarkan tekanan politik, lebih-lebih lagi daripada pihak yang sering mempertikai asas-asas nasional.

Katanya, DAP perlu berhenti daripada bermain sentimen dan menghentikan agenda yang boleh menjejaskan kedaulatan dasar pendidikan negara..

“Kerajaan mesti kekal tegas. Tidak ada keperluan untuk tunduk pada desakan UEC. Keutamaan adalah memperkasa sistem pendidikan kebangsaan, bukan membuka ruang kepada standard pendidikan luar yang tidak pernah melalui proses penyelarasan nasional.

Pemuda UMNO Alor Gajah akan terus mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu, sistem pendidikan arus perdana dan prinsip penyatuan negara—walau apa pun tekanan politik yang cuba dimanipulasi oleh mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, Pemuda UMNO Kuala Krau kesal dan mengecam keras kenyataan Naib Ketua DAPSY Malaysia yang menyerang pendirian Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkaitan isu pengiktirafan Sijil UEC.

“Serangan politik sedemikian bukan sahaja tidak matang, malah menunjukkan kegagalan DAPSY memahami realiti serta sentimen rakyat berhubung masa depan sistem pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Pemuda Kuala Krau berdiri teguh menyokong pendirian Akmal dalam menolak pengiktirafan Sijil UEC atas dasar mempertahankan kedaulatan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memastikan sistem pendidikan negara terus kekal sebagai medium perpaduan, bukan pemisahan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment