SHAH ALAM 16 Julai – Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis heroin dan heroin base dengan rampasan bernilai RM4.1 juta menerusi tiga serbuan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang antara pukul 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata serbuan yang dijalankan serentak oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu turut menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 47 hingga 55 tahun termasuk seorang individu yang dipercayai dalang sindiket.
Katanya , pada serbuan pertama, polis menahan sebuah kereta Mazda di tepi jalan di Subang Jaya dan menangkap suspek pertama.
Haail pemeriksaan, polis menemui dadah jenis heroin base yang dianggarkan seberat 14.52 kilogram dan 920 gram heroin dalam satu beg warna hitam yang disorokkan pada ruangan khas di bahagian tempat belakang penumpang.
Serbuan seterusnya dijalankan di sebuah rumah beralamat di Seri Kembangan dan menahan suspek kedua dan hasil pemeriksaan dalam rumah itu menemui heroin base yang dianggarkan seberat 25.55 kilogram.
Manakala suspek ketiga ditahan di sebuah kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang dengan pemeriksaan susulan di sebuah rumah menemui heroin base seberat 7.456 kilogram.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 47.526 kilogram heroin base dan 920 gram heroin yang dianggarkan bernilai RM4.13 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan kondominium atau apartmen sebagai lokasi transit bagi penyimpanan bekalan dadah sebelum dihantar kepada pelanggan.
Katanya, selain itu, sindiket ini turut mengubah suai kenderaan dengan memasang ruang khas (special compartment) bagi menyembunyikan dadah yang dibawa, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa semasa melalui sekatan jalan raya.
“Sindiket ini mula bergiat aktif sejak awal tahun 2024 dan kita percaya individu yang ditangkap di Pulau Pinang adalah dalang dan mengambil bekalan dadah dari negara jiran di utara.
“Dua lagi tangkapan bertindak sebagai transporter dan dipercayai dibayar RM5,000 untuk satu perjalanan,” katanya.
Menurut Hussein, semakan rekod lampau mendapati semua tangkapan memiliki rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine.
“Polis juga menyita harta yang dianggarkan bernilai RM166,000 membabitkan empat buah kereta dan dua buah motosikal,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek direman antara lima dan enam hari bermula 13 hingga 18 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Nnnn
