Keluarga Beng Hock tolak permohonan maaf

KUALA LUMPUR 16 Julai  – Keluarga mendiang Teoh Beng Hock menolak permohonan maaf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan sumbangan ihsan sebaliknya menuntut keadilan atas kematian itu.

Adik perempuan mendiang, Teoh Lee Lan pada sidang media bersama Persatuan Teoh Beng Hock untuk Perkembangan Demokrasi (TBH-ADA) menyifatkan permohonan maaf oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM,  Azam Baki sebagai tidak ikhlas dan hanya untuk publisiti.

Beliau berkata, permohonan maaf seperti itu tidak membawa sebarang makna selagi tidak ada pengakuan pembabitan pegawai SPRM dalam kematian Beng Hock.

Katanya, cadangan Jabatan Peguam Negara kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 2022 untuk menawarkan pampasan dan permohonan maaf tambahan kepada keluarga Beng Hock adalah tindakan yang memalukan.

“Keluarga menolak tawaran tersebut, sebaliknya mendesak pegawai SPRM yang terlibat dalam kematian Beng Hock didakwa di mahkamah,” katanya yang membidas logik pampasan digunakan SPRM.

Pada masa yang sama beliau mencadangkan Azam menyerahkan lima nyawa pegawai SPRM yang didakwa terlibat.

Kenyataan keluarga Beng Hock itu susulan tindakan Azam yang  mengutuskan permohonan maaf dan simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga Beng Hock yang meninggal dunia ketika disoal siasat agensi antirasuah itu pada 2009.

Permohonan maaf itu dikemukakan pada hari ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock, yang juga Setiausaha Politik kepada EXCO Selangor ketika tu, Ean Yong Hian Wah.

Lee Lan memaklumkan TBH-ADA bersedia untuk melancarkan kempen kutipan dana dari orang awam dengan nilai pampasan RM660,000 bagi setiap nyawa lima pegawai SPRM yang didakwa terbabit dengan kematian Beng Hock, menjadikan jumlah keseluruhan RM3.3 juta.

Mereka juga bersedia mengedarkan sumbangan kepada keluarga lima pegawai terbabit dan akan memohon maaf secara terbuka kepada mereka selepas tindakan itu disempurnakan.

“Sekiranya SPRM dan kerajaan benar-benar percaya bahawa wang adalah segala-galanya dan nyawa manusia boleh diganti dengan pampasan, maka tunjukkanlah logik ini kepada rakyat Malaysia secara terbuka,” katanya.

Lee Lan turut menegaskan apa yang dituntut keluarga mereka sejak lebih sedekad lalu adalah keadilan dan bukannya pampasan.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam. Mendiang dibawa ke pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu pada 15 Julai bagi membantu siasatan sebelum ditemui meninggal dunia keesokan harinya dalam keadaan mencurigakan.

Related posts

Leave a Comment