Siasat dakwaan integriti hakim dilantik

KUALA LUMPUR 14 Julai – Dakwaan mengenai integriti seorang hakim perlu disiasat dan diperbetulkan supaya rakyat terus yakin terhadap badan kehakiman sebagai penegak keadilan, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, hakim mestilah seorang yang berintegriti kerana tugas dan tanggungjawabnya amat berat kerana keputusannya boleh menentukan kebebasan atau hidup mati seseorang.

“Seorang hakim yang berintegriti akan membuat keputusan berlandaskan undang-undang dan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih (without fear or favour). Keadilan tertegak apabila mahkamah bebas dan hakim berintegriti,” katanya.

Beliau bimbang sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas pertimbangan yang penting dalam pelantikan hakim-hakim, keadilan boleh dijual beli.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 menetapkan integriti, kompetensi dan pengalaman sebagai kriteria utama pelantikan seorang hakim.

“Ini bermakna anggota JAC dalam membuat penilaian kelayakan seseorang untuk disyorkan pelantikannya sebagai hakim perlulah meneliti aspek integriti individu tersebut,” kata Presiden Bersatu itu.

Beliau mengulas laporan media mengenai kemelut pelantikan seorang hakim mahkamah atasan yang kini mendapat perhatian umum selepas tular di media sosial mengenai apa didakwa Minit Mesyuarat JAC bertarikh 16 Mei 2025 yang bocor.

Mantan Ketua Hakim Negara didakwa membangkitkan di dalam mesyuarat JAC tentang masalah integriti seorang hakim ketika beliau menjawat jawatan itu.

Antara dakwaannya ialah hakim tersebut pernah meminta supaya penghakiman satu kes dibuat memihak kepada pihak tertentu dan memindahkan seorang hakim yang tidak sehaluan dengan pendapat Peguam Negara.

Muhyiddin menyifatkan ini suatu dakwaan salah guna kuasa dan campurtangan dalam badan kehakiman yang serius.

“Hak dan kebebasan seseorang untuk mendapatkan keadilan di mahkamah terjejas sekiranya perbuatan ini benar-benar wujud. Bagaimana seorang individu boleh mendapat jaminan keadilan bagi dirinya jika penghakiman sesuatu kes boleh dipengaruhi oleh pihak yang berkuasa.

Kedudukan badan kehakiman sebagai benteng terakhir seorang individu untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya akan terhakis.

Sekiranya dakwaan ini benar, pelantikan hakim tersebut juga adalah bercanggah dengan Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 mengenai integriti hakim,” kata Muhyiddin.

Bekas Perdana Menteri itu juga bimbang, laporan ini juga berkait rapat dengan masalah yang lebih besar iaitu dakwaan campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan hakim-hakim membabitkan Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan dalam satu kes mahkamah yang serius.

“Ini membangkitkan suatu kebimbangan yang munasabah bahawa Perdana Menteri juga tidak akan meletakkan integriti sebagai pertimbangan utama dalam pelantikan hakim. Pertimbangan kepentingan peribadi berkemungkinan besar akan mengatasi faktor integriti.

Apatah lagi jika hakim yang didakwa terbabit dengan masalah integriti dilantik ke jawatan yang lebih tinggi dalam badan kehakiman,” katanya.

Justeru Perdana Menteri hendaklah mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan, kemudian sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) yang bebas dapat ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang dalam pelantikan hakim.

Ketika itu pelantikan hakim-hakim juga tidak lagi dikaitkan dengan kepentingan peribadi Perdana Menteri.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment