KUALA LUMPUR 14 Julai – Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen berkata kerajaan wajar untuk memberi penjelasan berhubung pendedahan dokumen sulit berkaitan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular sejak semalam.
Katanya, kerajaan tidak boleh berdiam diri kerana dokumen yang hingga kini tidak disahkan oleh mana-mana pihak boleh dianggap benar sekiranya tiada sebarang penjelasan lanjut daripada kerajaan.
“Kita sudah baca (dokumen didedahkan oleh Reddit.com), kalau baca baik-baik, memang institusi kehakiman kita memang tercabar. Selagi kerajaan tidak kata ini semua tipu kita anggap betullah. Kalau betul kita ada masalah yang besar.
“Bagi saya, isu ini tidak boleh ditutup, perlu diberikan fokus dan tidak boleh ‘taichi’ (elak), kena hadapinya,” katanya ketika menjadi panel Forum Awam: Integriti Kehakiman di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), malam tadi.
Walaupun dilabel berbagai gelaran selepas mengetengahkan isu itu bersama lapan Ahli Parlimen PKR yang lain, beliau menegaskan apa dibuat adalah demi mempertahankan demokrasi.
“Ada yang panggil kita ‘samurai’ sedangkan kita masih lagi Ahli Parlimen kerajaan. Tapi dalam isu ini jelas kerja kita sebenarnya adalah pertahankan demokrasi kita.
“Saya masih setia kepada kerajaan dan reformasi. Tapi bila kita lihat reformasi kurang dan sistem kehakiman susah, sedangkan semua Ahli Parlimen kena setia kepada institusi dan demokrasi, prinsip ini paling penting.
‘Saya tahu ada yang takut nanti kena tindakan itu ini, peruntukan kena tarik. Ahli Parlimen kena buatlah kerja dan cabaran kita adalah (hal seperti) ini,” katanya.
