Kumpulan terakhir jemaah Andalusia tiba

SEPANG 11 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) memberi perkhidmatan yang terbaik semasa mengendalikan jemaah haji negara ini termasuk mereka yang mengikuti pakej di bawah kendalian Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Timbalan Ketua Operasi Haji Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia ) Mohd Nor Hanafie Mohamad Zin berkata, pihak TH masih mengambil tanggungjawab terhadap jemaah PJH terutama berkaitan kebajikan dan kesihatan.

“PJH masih di bawah tanggungjawab Tabung Haji bermula urusan pelepasan ke Tanah Suci sehingga kembali ke tanah air, kami disambut dengan baik,” katanya kepada media sejurus tiba di KLIA malam tadi.

Beliau tiba bersama 81 jemaah yang mengikuti pakej haji PJH Andalusia serta dua petugas lain dengan penerbangan KT100, iaitu antara tiga penerbangan terakhir operasi haji TH tahun ini.

“Sepatutnya 82 jemaah dalam KT100 ini tetapi seorang daripadanya meninggal dunia selepas selesai Jamratul Aqabah atau tahalul awal pada 10 Zulhijah,” katanya yang sebelum ini mengetuai penerbangan KT11 bersama 351 jemaah Andalusia.

Allahyarham Abd Yazit Matt, 65 dari Kampung Nisam Mukim Kurung Batang , Kangar Perlis meninggal dunia pukul 11.22 malam di Hospital Pakar Al Noor akibat serangan jantung. Isteri dan anak perempuan arwah tiba dengan penerbangan KT100.

Malam tadi kumpulan terakhir 101 jemaah haji Andalusia tiba dengan dua penerbangan iaitu 84 orang termasuk tiga petugas pada pukul 7 malam dan 17 lagi bersama KT093 tiba pukul 9.30 malam.

Mereka disambut oleh petugas Andalusia yang turut menyampaikan cenderahati termasuk sekumtum bunga ros. Secara keseluruhan, Andalusia pada tahun ini membawa 573 jemaah haji dan 13 petugas diketuai Azhar Ghazali.

Dalam pada itu, menurut Mohd Nor Hanafie, cabaran terbesar tahun ini adalah ketika di masyair iaitu hari-hari terpenting ibadah untuk membimbing jemaah melaksanakan rukun dan wajib haji ketika di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Katanya, antara pengalaman atau cabaran dihadapi termasuklah berada di dalam bas selama hampir sembilan hingga 10 jam akibat kesesakan ketika dalam perjalanan selepas wukuf di Arafah menuju ke Muzdalifah walaupun jaraknya hanya 15 kilometer.

Mereka berangkat pukul 1 pagi malam 10 Zulhijah dan tiba di Mina pada waktu Zohor malahan beliau sendiri bersama jemaah terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer dari tempat bas berhenti menuju ke khemah di Mina.

“Bagaimanapun Alhamdulillah kami dapat mengatasi cabaran itu dan dapat melaksanakan ibadah,” katanya yang bersama mengendali jemaah Andalusia pada 2023, 2024 dan 2025.

Beliau juga menjelaskan kuota terhad menyebabkan bilangan petugas juga dihadkan sementara peraturan ketat juga dilaksanakan tahun ini walaupun jumlah jemaah tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment