TIDAK semua negeri mengikuti keputusan kerajaan Pusat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa hari ini.
Ada yang mengambil sikap tunggu dan lihat sambil memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP), ada juga yang mahu memberi ruang kepada pihak berkenaan lebih bersedia dan ada yang melaksanakan secara berperingkat.
Semua langkah itu adalah bagi memastikan kedua-dua pihak iaitu pengusaha atau peniaga serta orang ramai lebih bersedia melalui fasa baharu ini.
Contohnya di Perak, kerajaan negeri tidak membenarkan orang ramai makan di dalam mana-mana premis makanan; namun restoran, warung, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan berbumbung atau berkenderaan saji dibenarkan beroperasi, itupun untuk tujuan bungkus dan penghantaran makanan sahaja.
Begitu juga di Selangor, peniaga dan penjaja berpremis dibenarkan beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 10 malam, tetapi terhad kepada urusan bawa pulang, pandu lalu dan penghantaran.
Sementara peniaga tidak berpremis, penjaja tepi jalan serta pengusaha ‘kenderaan saji’ hanya dibenarkan beroperasi selepas 12 Mei ini bagi memberi masa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengatur persediaan untuk jarakan sosial dan pengesanan kontak.
Kerajaan Pulau Pinang pula memutuskan untuk melaksanakan PKPB secara tiga fasa menerusi Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang, iaitu Fasa Tempoh Penjelasan mulai 4 hingga 7 Mei, Fasa Pembiasaan (8 hingga 12 Mei) dan Fasa Pembukaan (13 Mei).
Hari ini, 4 Mei, semua sektor hanya dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja persiapan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Fasa 1 (Fasa Tempoh Penjelasan) dan operasi penuh berpandukan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya boleh dilaksanakan dalam Fasa 2 (Pembiasaan) pada 8 Mei.