GAZA – Lapan kanak-kanak terbunuh ketika beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di luar sebuah klinik kesihatan, semalam.
Agensi Pertahanan Awam Gaza memaklumkan mereka adalah antara 66 orang yang maut dalam siri serangan udara semalaman Israel ke atas wilayah Palestin itu,
Menurut agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), antara mangsa termasuk seorang bayi lelaki berusia setahun, yang menurut ibunya baru saja mula bertutur kata-kata pertamanya beberapa jam sebelum kejadian.
Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell, dalam satu kenyataan berkata ibunya dilaporkan cedera parah.
“Tiada ibu bapa yang sepatutnya melalui tragedi seperti ini. Pembunuhan keluarga yang sedang cuba mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan nyawa adalah sesuatu yang tidak dapat diterima,” kata beliau.
Badan kebajikan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Project Hope, yang mengendalikan kemudahan berkenaan, memaklumkan mangsa sedang menunggu klinik dibuka untuk mendapatkan rawatan akibat kekurangan zat makanan, jangkitan serta penyakit.
Pertubuhan itu menyatakan jumlah korban adalah 15 orang, termasuk 10 kanak-kanak dan dua wanita.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Project Hope, Rabih Torbay, menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Israel kini giat memperluaskan operasi ketenteraan di Gaza, menyaksikan keadaan kemanusiaan semakin meruncing bagi lebih dua juta penduduk di wilayah itu.
Tentera Israel memberitahu AFP bahawa mereka menyasarkan seorang pejuang Hamas di Deir el-Balah yang dipercayai menyusup masuk ke Israel dalam serangan kumpulan itu pada 7 Oktober 2023.
Nnnn
