BAITULMUQADDIS – Israel bersedia untuk melaksanakan rundingan gencatan senjata kekal di Gaza, kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. dalam satu wawancara dalam rancangan ‘The Record with Greta Van Susteren’.
Katanya, rundingan boleh dimuktamadkan dalam tempoh 60 hari sekiranya rundingan gencatan senjata sekarang berjaya, namun menetapkan syarat wilayah Palestin perlu bebas senjata dan bukan lagi zon tentera.
Netanyahu memaklumkan bahawa Israel dan Hamas mungkin akan bersetuju dengan gencatan senjata selama 60 hari, yang boleh digunakan oleh kedua-dua pihak untuk merundingkan penyelesaian konflik secara menyeluruh.
Hamas memaklumkan masih terdapat beberapa isu utama dalam rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung, termasuk aliran bantuan kemanusiaan, pengunduran tentera Israel dari Semenanjung Gaza, serta jaminan tulen untuk gencatan senjata kekal.
Wawancara bersama Newsmax berlangsung ketika Netanyahu menamatkan lawatan kali ketiga ke Washington sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mula memegang jawatan pada Januari.
Delegasi dari Israel dan pejuang Hamas memulakan rundingan tidak langsung di Doha pada Ahad bagi mencapai persetujuan mengenai pemberhentian sementara konflik yang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Utusan Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Steve Witkoff, mencadangkan gencatan senjata selama 60 hari sebagai pertukaran bagi pembebasan separuh daripada 20 tebusan yang masih hidup di Gaza, kata Netanyahu kelmarin.
“Pada permulaan gencatan senjata ini, kami akan memulakan rundingan bagi menamatkan perang secara kekal,” katanya dalam satu mesej video dari Washington semalam.
Beliau berkata syarat asas Israel ialah ‘Hamas meletakkan senjata’ dan tidak lagi mempunyai ‘keupayaan mentadbir atau keupayaan ketenteraan’.
Jika perkara ini boleh dicapai melalui rundingan, ia sesuatu yang baik. Jika tidak dapat dicapai dalam tempoh 60 hari, kami akan mencapainya melalui cara lain, iaitu dengan kekuatan tentera wira kami,” katanya.
Hamas kelmarin menyatakan kesediaan untuk membebaskan 10 tebusan yang masih hidup, namun semalam menolak perjanjian membabitkan kehadiran besar tentera Israel di Gaza
Pejuang Hamas turut menuntut aliran bantuan kemanusiaan tanpa sekatan ke wilayah itu bagi mengurangkan krisis kemanusiaan serta ‘jaminan nyata’ bagi keamanan berkekalan.
Nnnn
