PUTRAJAYA 11 Julai – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghormati pandangan UMNO berhubung pengesahan kewujudan Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Najiib Razak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Bagaimanapun, tegas Perdana Menteri, perkara itu masih di peringkat mahkamah dan semua pihak seharusnya mengikuti proses yang sepatutnya.
“(Titah) Adendum itu urusan mahkamah sekarang, tak ada masalah bagi kita…pandangan masing-masing kita hormati, tapi ikut proses,” katanya kepada pemberitq selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahim, Presint 15mdi sini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan UMNO memohon titah tahanan rumah ke atas Najib dapat dilaksanakan selaras kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dalam kenyataannya berkata ia susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum berkenaan oleh Peguam Negara, semalam.
UMNO mengucapkan syukur dengan pengesahan kewujudan Titah Adendum oleh Peguam Negara semalam, sekali gus memperakui titah bagi penahanan rumah Najib.
“UMNO merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah itu dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, cara berkenaan akan membolehkan bekas Perdana Menteri keenam itu mendapat keringanan hukuman yang sudah tertunda lebih setahun lalu.
Rabu lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi memutuskan empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.
Nnnn
